Abe jamin tingkat hubungan

Abe jamin tingkat hubungan

TOKYO, 22 Jun (AFP) – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe hari ini memberi jaminan akan meningkatkan hubungan dengan Korea Selatan selepas hubungan tegang selama bertahun-tahun kerana sejarah dan wilayah, ketika kedua-dua negara memperingati 50 tahun hubungan diplomatik.

“Saya berharap dapat menemui Presiden Park Geun-Hye demi rakyat kedua-dua negara dan untuk meningkatkan dan seterusnya mengembangkan hubungan kami,” kata Abe pada awal pertemuan dengan Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung-Se.

Abe dijangka menghadiri satu majlis di kedutaan Korea Selatan di Tokyo lewat hari ini untuk memperingati ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun 1965, dalam tanda bahawa ketegangan mula reda, menurut jurucakap tertinggi kerajaan Yoshihide Suga.

Presiden Korea Selatan Park akan menghadiri majlis serupa di Seoul, menurut Suga.

Yun, yang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Tokyo, semalam telah mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida, apabila kedua-dua lelaki ini bersetuju akan ada sidang mesyuarat ‘pada masa yang sesuai’.

Yun Byung-Se (kiri) menghadiahkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dengan gambar ayahnya, bekas menteri luar negeri Jepun, Shintaro Abe yang diambil di Korea Selatan pada Julai 1984. – AFP
Yun Byung-Se (kiri) menghadiahkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dengan gambar ayahnya, bekas menteri luar negeri Jepun, Shintaro Abe yang diambil di Korea Selatan pada Julai 1984. – AFP

Dalam rundingan mereka, Yun dan Kishida, ‘juga bersetuju mengadakan rundingan tetap kementerian luar dan untuk melawat negara antara satu sama lain,’ kata Suga lagi.

Park sebelumnya menegaskan bahawa tidak ada mesyuarat dengan Abe sehingga Jepun membetulkan sistem penghambaan seks ketika peperangannya, yang menyaksikan seramai-ramainya 200,000 orang kebanyakannya ‘wanita peneman’ warga Korea Selatan yang terpaksa menjadi hamba bagi ketenteraan Imperial Jepun.

Jepun ‘telah menjelaskan pendiriannya berhubung isu itu,’ ujar Suga, dengan mengulangi laporan media tempatan bahawa tidak ada pergerakan ketara dibuat dalam rundingan semalam antara Kishida dan Yun.

Park berkata dalam temu bual baru-baru ini dengan Washington Post bahawa ‘terdapat banyak kemajuan berhubung isu wanita peneman,’ dan kedua-dua negara ‘dalam peringkat terakhir’ rundingan.

Jepun menegaskan isu itu telah selesai dalam perjanjian pemulihan hubungan 1965 yang menyaksikan Tokyo membuat pembayaran berjumlah $880 juta dalam pemberian atau pinjaman kepada bekas jajahannya itu.

Kerajaan Jepun juga mengeluarkan permohonan maaf pada tahun 1993 yang masih dasar rasmi.

Jepun dan Korea Selatan juga berselisih faham berhubung hak pemilikan pulau kecil Dokdo yang tidak ramai penduduk, yang terletak di Laut Jepun (Laut Timur) dan dikawal oleh Seoul. Tokyo menuntutnya di bawah nama ‘Takeshima’.

ARTIKEL YANG SAMA