Abe mungkin tangguh kenaikan cukai

Abe mungkin tangguh kenaikan cukai

TOKYO, 29 Mei – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berhasrat menangguhkan kenaikan cukai akan datang untuk dua setengah tahun, apabila beliau kemungkinan besar telah meletak jawatan pada masa itu, kata laporan hari ini.

Abe memberitahu penolong rapatnya semalam, termasuk Menteri Kewangan Taro Aso, bahawa beliau berhasrat menangguhkan satu rancangan kenaikan cukai pada Oktober 2019, menurut media Jepun.

Jawatan perdana menteri Abe akan berakhir pada September 2018 melainkan Parti Liberal Demokratik beliau meluluskan satu tindakan luar biasa untuk melanjutkan kepimpinan beliau.

Ia bermakna Abe mungkin meninggalkan kerja-kerja mengenakan cukai yang lebih tinggi – langkah utama yang akan membantu membayar salah satu bebanan hutang terbesar dalam kalangan negara kaya tetapi mungkin juga menjejaskan pemulihan ekonomi Jepun – kepada pengganti beliau.

Tokyo telah pun menangguhkan kenaikan cukai daripada lapan kepada 10 peratus pada tahun lalu ke April 2017. Abe sebelum ini berkata kerajaannya hanya akan menangguhkan kenaikan cukai penggunaan sekiranya berlaku ‘krisis’ – pada skala kemuflisan Lehman Brothers atau gempa bumi besar.

Pada sidang kemuncak pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) selama dua hari, yang berakhir di Jepun pada Jumaat, Abe berkata ekonomi global menghadapi risiko ‘krisis,’ walaupun Angela Merkel dari Jerman dan ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa Christine Lagarde dilaporkan berkata ramalan tersebut adalah terlalu negatif.

Kenaikan cukai jualan terakhir Jepun pada April 2014 – yang pertama di negara dalam 17 tahun – dipersalahkan atas pemulihan ekonomi yang terbantut dan mendorong Jepun mengalami kemelesetan di mana ia masih belum berpulih sepenuhnya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA