Abe puji pencapaian TPPA

Abe puji pencapaian TPPA

TOKYO, 8 Nov (AFP) – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memuji pencapaian besar Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang menunjukkan usaha Tokyo dan Amerika Syarikat (AS) untuk menetapkan peraturan ekonomi dunia.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sehari selepas teks perjanjian yang dirahsiakan sejak sekian lama, disiarkan kepada umum.

Dokumen itu memaparkan butiran terperinci perjanjian perdagangan terbesar di dunia yang menyasarkan untuk menghapuskan halangan perdagangan dan pelaburan antara 12 buah negara dengan melibatkan kira-kira 40 peratus ekonomi dunia.

Menurut Abe, TPPA merupakan struktur bagi Jepun dan AS mengetuai penetapan peraturan ekonomi selain berharap Korea Selatan dan Indonesia menyertai perjanjian itu selepas kedua-dua negara terbabit menunjukkan minat untuk berada di zon yang sama.

“Peraturan tidak semestinya dikuatkuasakan terhadap anda, kerana anda yang menciptanya dan Jepun memantau segala peraturan yang ditetapkan bersama AS.

Abe berkata TPPA merupakan struktur penetapan peraturan ekonomi bagi Jepun dan AS. - AFP
Abe berkata TPPA merupakan struktur penetapan peraturan ekonomi bagi Jepun dan AS. – AFP

“Saya memberi jaminan bahawa TPPA akan memberikan ruang perdagangan yang bebas dan adil antara negara yang terlibat dalam perjanjian ini,” kata beliau pada satu forum ekonomi di Tokyo hari ini.

TPPA yang dipersetujui pada bulan lalu, menetapkan sasaran bagi mewujudkan perdagangan dan pelaburan bebas antara negara terlibat iaitu Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, Jepun, New Zealand, Peru, Singapura, AS, dan Vietnam.

Perjanjian itu hanya berkuatkuasa sejurus setiap negara mendapat kelulusan perundangan walaupun proses berkenaan dijangka memakan masa yang lama dan mencetuskan perdebatan di peringkat domestik.

ARTIKEL YANG SAMA