Abe yakin terhadap diplomasi Trump

Abe yakin terhadap diplomasi Trump

NEW YORK, 18 Nov – Perdana Menteri Jepun menyuarakan keyakinan semalam tentang Donald Trump, ketika beliau menjadi pemimpin asing pertama mengadakan pertemuan dengan presiden AS yang baru dilantik itu, yang sedang memberi perhatian pada pemilihan kabinet.

Trump, yang menerima ramai pengendali Republikan di bangunan pencakar langitnya di Manhattan sejak kemenangannya yang mengejutkan minggu lalu, nampaknya memilih penyokong-penyokong kuat tetapi juga menimbangkan bekas saingan-saingan bagi jawatan tinggi.

Beberapa saluran media AS lewat semalam melaporkan bahawa Trump telah menawarkan peranan penasihat keselamatan kebangsaan kepada jeneral bersara Michael Flynn, pegawai perisikan tentera yang pernah menjadi pengganti jutawan itu pada kempen pilihan raya. Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengadakan pertemuan dengan presiden yang baru dilantik itu selama 90 minit di Trump Tower untuk merisik selepas kempen yang mencemaskan kebanyakan sekutu AS.

“Hasil dari rundingan hari ini, saya yakin Trump adalah pemimpin yang boleh saya percayai,” Abe memberitahu para pemberita dengan menggambarkan ‘suasana sangat mesra’.”

Shinzo Abe (kanan) berucap kepada pihak media selepas mengadakan pertemuan dengan Donald Trump, kelmarin, di New York. – AP
Shinzo Abe (kanan) berucap kepada pihak media selepas mengadakan pertemuan dengan Donald Trump, kelmarin, di New York. – AP

Tetapi Abe, seorang nasionalis yang gigih untuk menggiatkan ekonomi Jepun dan berdepan dengan kebangkitan China, enggan menyatakannya dengan khusus. Jepun adalah sebuah sekutu terdekat Washington tetapi Trump mencemaskan para penggubal dasar Tokyo ketika kempen dengan memikirkan untuk mengeluarkan beribu-ribu tentera AS dari rantau itu dan mengatakan Jepun yang secara rasmi sebuah negara pencinta damai mungkin memerlukan senjata nuklear.

Trump juga berikrar pada kempennya akan mengingkari Perkongsian Rentas Pasifik, cadangan perjanjian perdagangan luas yang disokong oleh Presiden Demokrat Barack Obama yang bakal meninggalkan jawatannya dan perjanjian itu telah menjadi keutamaan Abe.

Saluran keluar media AS merujuk kepada sumber dalam atau yang rapat dengan pasukan peralihan Trump sebagai mengatakan Flynn ditawarkan peranan sebagai penasihat keselamatan kebangsaan. Tidak diketahui jika Flynn menerima jawatan itu, yang akan melibatkan untuk memberi nasihat kepada bakal presiden itu yang tidak mempunyai pengalaman tentang keselamatan negara berhubung isu-isu yang termasuklah kumpulan IS, China dan Rusia. – AFP