ABM mengeluarkan 88,567 pelatih mahir

ABM mengeluarkan 88,567 pelatih mahir

KUCHING, 19 Feb (Bernama) – Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak yang ditubuhkan pada 2001 setakat ini telah berjaya mengeluarkan 88,567 pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran untuk industri pembinaan negara.

Ketua Pegawai Operasinya Abdul Rahman Ahmad berkata 10 peratus daripada pelatih terbabit merupakan belia dan lainnya mereka yang sudah bekerja dan mengikuti latihan untuk memperoleh Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) yang dikeluarkan CIDB Malaysia, yang setaraf dengan Sijil Kemahiran Malaysia.

Beliau berkata setiap tahun enam pusat latihan ABM di seluruh negara mengeluarkan sebanyak 60,000 pelatih.ABM merupakan subsidari CIDB Malaysia yang berperanan membangunkan sumber manusia untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti industri pmbinaan negara

Kajian pengesanan yang dilakukan ABM mendapati 63 peratus daripada pelatihnya bekerja dalam bidang berkaitan, katanya pada sidang media di sini hari ini mengenai Hari Graduasi ABM Sarawak 2016.

Mengenai Hari Graduasi ABM, Abdul Rahman berkata sebanyak 100 graduan termasuk tujuh pelatih cemerlang akan menerima sijil pada majlis 29 Feb ini di sini yang dijadual dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, pada majlis itu juga akan diadakan upacara menandatangani surat akujanji Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) oleh penggiat industri pembinaaan Sarawak.

Di samping itu, katanya lima syarikat akan turut menerima sijil penghargaan atas sumbangan mereka kepada sektor pembinaan di negeri ini.

ARTIKEL YANG SAMA