Abrini mengakui dia ‘lelaki bertopi’, serangan Brussels

Abrini mengakui dia ‘lelaki bertopi’, serangan Brussels

BRUSSELS, 10 April (AFP) – Tersangka serangan di Paris Mohamed Abrini semalam mengaku dirinya adalah ‘lelaki bertopi’ yang ada di dalam rakaman video, dilihat bersama pengebom-pengebom berani mati di lapangan terbang Brussels bulan lalu, imej-imej yang telah mencetuskan pemburuan besar-besaran. “Ini adalah langkah penting untuk ke hadapan,” sumber rapat dengan penyiasatan memberitahu AFP.

Abrini membuat pengakuan pada hari dia didakwa dengan pembunuhan ganas berhubung serangan bulan November di Paris yang mengorbankan banyak jiwa, menurut para pendakwa. Tersangka pengganas Osama Krayem, warga Sweden, telah didakwa atas tuduhan sama berhubung peranannya dalam pengeboman berani mati di stesen metro pada 22 Mac yang berlaku sejam selepas letupan di lapangan terbang. Sejumlah 32 orang terbunuh dalam serangan yang diselaraskan.

Penangkapan terbaru ini mengukuhkan teori bahawa sarang pengganas sama melancarkan serangan ganas paling teruk di Perancis dan Belgium, yang mana Islamic State IS mengaku melancarkannya.

Kedua-dua tersangka itu adalah antara enam orang yang diberkas dalam serangan di Brussels pada Jumaat lalu. Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan tetapi dua orang lagi didakwa atas tuduhan persubahatan kerana dikatakan membantu Abrini dan Krayem.

Gambar yang diberikan menunjukkan Mohamed Abrini. – AFP
Gambar yang diberikan menunjukkan Mohamed Abrini. – AFP

Menurut laporan dalam akhbar harian Belgium L’Echo, yang tidak disahkan oleh pihak pendakwa, Abrini telah mengaku dia sebenarnya mahu pulang ke Paris bagi satu lagi serangan tetapi menjadi takut oleh penyiasatan dan tergesa-gesa memutuskan untuk melancarkan pengeboman di Brussels.

Hakim yang mengetuai penyiasatan Belgium ke atas serangan di Paris pada 13 November mendakwa Abrini “terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas dan pembunuhan ganas,” menurut kenyataan pejabat pendakwa persekutuan.

Warga Belgium berketurunan Maghribi itu tersangka terakhir dalam serangan di Paris masih bebas. Dia dilihat dalam kamera CCTV di sebuah stesen minyak di utara Paris dua hari sebelum serangan di sana. Di dalam kereta bersamanya ialah rakannya yang juga tersangka serangan di Paris, Salah Abdeslam, yang kini menantikan penyerahan dari Belgium ke Perancis. Pihak pendakwa juga mengesahkan kaitan Abrini dengan serangan di lapangan terbang Brussels.

ARTIKEL YANG SAMA