ABS, OCBC ganding bahu tingkat piawaian profesional

ABS, OCBC ganding bahu tingkat piawaian profesional

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Asian Banking School (ABS) dan OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) telah berganding bahu untuk meningkatkan tahap penguasaan pegawai bank dalam selok-belok bidang pengurusan kekayaan menerusi program latihan 13-modul yang bermula bulan depan (Ogos).

Usaha sama yang belum pernah dilaksanakan ini melengkapkan para pengurus hubungan OCBC Bank dengan ilmu pengurusan terbaik demi manfaat pelanggan dan juga untuk diri mereka sendiri menerusi program mampan yang membina kerjaya dan mengukuhkan perspektif. Program Pengurusan Kekayaan ABS-OCBC akan menyampaikan maklumat tentang trend, cabaran dan peluang dalam industri.

Sebanyak 12 modul yang disusun rapi akan memberi tumpuan mengukuhkan ilmu pengurus perhubungan OCBC Bank dalam aspek khidmat nasihat pelanggan dan juga pelbagai instrumen pengurusan kekayaan yang wujud pada hari ini.

Selain daripada meningkatkan kualiti latihan yang diterima oleh pengurus hubungan, Program Pengurusan Kekayaan ABS-OCBC sekali gus menggandakan masa latihan OCBC Bank untuk pembangunan profesional pengurusan kekayaan.

Pelajar pada sesi pertama akan menamatkan kursus pada Januari 2017. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank En. Ong Eng Bin, OCBC Bank benar-benar memberi penekanan kepada proses pembelajaran untuk memastikan pengurus hubungannya dilengkapi dengan ilmu dalam trend dan amalan industri terkini, sambil berganding bahu dengan rakan usaha sama yang terbukti.

“Sebagai salah sebuah bank utama dalam bidang pengurusan kekayaan, kami tahu ramai orang– termasuk pelanggan dan kakitangan yang sedia ada atau bakal pelanggan – yang mahukan kami menetapkan penanda aras bagi latihan dan pembangunan.

Kerjasama dengan ABS penting kerana merupakan yang pertama sepertinya di Malaysia, yang menekankan usaha kami untuk membentuk dan memanfaatkan kemahiran kakitangan kami. Dengan cara ini, mereka akan terus menawarkan produk dan amalan pengurusan kekayaan dengan tahap kefahaman, keyakinan dan kejayaan yang lebih tinggi.

“Kami yakin bahawa cara paling baik untuk berbuat demikian ialah menerusi inisiatif usaha sama dengan pusat pengajian perbankan terkenal yang disokong oleh tenaga pembimbing yang dihormati dan berpengalaman. Dalam jangka lebih panjang, kami harap usaha perintis kami akan membuka jalan bagi perkembangan kerjaya holistik di kalangan kakitangan kami yang akhirnya akan meningkatkan tahap piawaian amalan pengurusan kekayaan di peringkat industri,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA