Abu Sayyaf bebaskan tebusan M’sia

Abu Sayyaf bebaskan tebusan M’sia

MANILA/SANDAKAN, 9 Nov (Bernama/Agensi) – Kumpulan pengganas Abu Sayyaf membebaskan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang diculik di sebuah pusat peranginan di Sandakan, Sabah pada Mei lalu selepas menerima wang tebusan kira-kira 30 juta peso (RM2.7 juta).

Menurut laporan portal Strait Times, mangsa yang dikenali sebagai Thein Nyuk Fun, 50, pengurus Restoran Ocean King Seafood, dibebaskan di kampung Bud Taran di wilayah Sulu, terletak kira-kira 1,400 kilometer dari utara Manila, malam semalam.

Nyuk Fun dilaporkan tiba di Sabah kira-kira pukul 7 pagi waktu Malaysia hari ini.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Bernard Fen, 39, yang bekerja sebagai jurutera, masih dalam tahanan kumpulan pengganas terbabit.

Strait Times melaporkan, Timbalan Gabenor Sulu, Abdusakur Tan dipercayai membantu dalam proses membebaskan Nyuk Fuk apabila menghantar anggota keselamatannya untuk berunding dengan kumpulan Abu Sayyaf.

Tambah laporan tersebut, dua anggota polis Malaysia juga menemani anggota keselamatan itu ke tempat pertemuan yang ditetapkan oleh Abu Sayaff bagi menyerahkan wang tebusan berkenaan. Thien Nyuk Fun menghabiskan hari pertama pembebasannya dengan meluangkan masa bersama keluarganya.

Tinjauan di restoran milik keluarga Thien di IJM Batu 6, di Sandakan pukul 7 malam tadi mendapati Thien berkumpul bersama keluarga dan turut berjumpa pekerja di restoran itu.

Usaha menemu bual Thien tidak berjaya dan seorang ahli keluarganya memberitahu Thien ingin meluangkan masa dengan keluarganya.

“Thien belum bersedia untuk ditemu bual, datanglah esok jika dia (Thien) mahu berjumpa dengan kamu,” katanya.

Dia kemudian dibawa keluarganya untuk pemeriksaan di klinik swasta di sini.