Acapulco jadi bandar ‘pembunuhan’ Mexico

Acapulco jadi bandar ‘pembunuhan’ Mexico

ACAPULCO, MEXICO, 16 Okt (AFP) – Beribu-ribu pelajar kolej Amerika sebelumnya mengunjungi Acapulco ketika percutian mereka, tetapi kini mereka menjauhi peranginan pantai itu kerana ia telah menjadi bandar pembunuhan Mexico.

Menjadi tumpuan kegemaran bintang-bintang Hollywood dalam tahun 1950an, Acapulco telah kehilangan tarikannya beberapa tahun kebelakangan ini. Gambar-gambar mayat sering muncul di surat khabar, lebih kerap dari penyelam cenuram legenda bandar itu. Antara dua dan enam orang dibunuh setiap hari di Acapulco, menurut pejabat pendakwa negeri Guerrero.

Dalam babak yang terlalu lumrah, satu mayat terbaring berlumuran darah pada malam baru-baru ini pada bulan ini, dengan 20 sarung peluru berselerakan di tempat pejalan kaki di hadapan sebuah hospital.

“Anak lelaki saya tidak bersalah,” tangis ibu mangsa berusia 30 tahun iaitu seorang pemilik kedai, ketika dia mengangkat tangannya di hadapan para penyiasat ketika orang yang memerhati mengambil gambar dengan telefon bimbit mereka.

Pada petang yang sama, penembakan dilaporkan di dua buah kawasan. Para pegawai juga menjadi sasaran. Seorang kakitangan perbandaran ditembak mati bulan ini ketika dia memandu kereta berhampiran laluan utama Acapulco.

Sabtu lalu, seorang anggota perbandaran bandar ditembak mati di siang hari ketika dia menuju ke pinggir bandar. Lebih 88 peratus penduduk di Acapulco merasa tidak selamat di bandar mereka, yang kini berada di atas dalam tinjauan kebangsaan bagi keganasan di kawasan metropolitan Mexico.

Kira-kira 336 orang dibunuh antara Januari dan Mei, peningkatan 42 peratus dari tempoh sama tahun lalu, menurut perangkaan kerajaan yang disiarkan dalam akhbar EL Universal.

Lebih 500 orang dibunuh dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, lapor akhbar harian itu. Kebanyakan keganasan berpunca dari pertelagahan antara kumpulan-kumpulan dadah.