Acara amal sempena ulang tahun RIPAS

Acara amal sempena ulang tahun RIPAS

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Sempena Ulang Tahun ke-30 Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Perasmian Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan, hari ini, telah mengadakan acara Ekspedisi Berbasikal dan Kutipan Amal.

Ekspedisi berbasikal yang bermula di Hospital RIPAS dan berakhir di Kementerian Kesihatan, Jalan Commonwealth Drive, Berakas, itu turut disertai Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Lebih 50 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta ahli keluarga mereka, menyertai ekspedisi sejauh 20km dengan tempat perhentian rehat di Pusat Memproses Surat dan Bungkusan.

Sebelum pelancaran basikalton oleh Yang Berhormat Pehin, acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai.

Acara ini antara lain bertujuan mengutip derma untuk tabung yang ditubuhkan pada 25 Januari 2010 bagi membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dari segi sosioekonomi terutama sekali dalam memenuhi keperluan rawatan perubatan yang bukan sahaja tertumpu kepada ubat-ubatan.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang pemenang.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada salah seorang pemenang.
Jualan car boot turut mendapat sambutan menggalakkan.
Jualan car boot turut mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, sebilangan pesakit yang dirujuk oleh pakar bergantung kepada peralatan perubatan untuk meneruskan rawatan mereka di rumah yang mana pihak keluarga dan pesakit berkenaan tidak berkemampuan untuk membeli peralatan yang diperlukan.

Sehubungan dengan itu, Karnival Amal diadakan di kawasan letak kereta Kementerian Kesihatan bagi mengutip derma melalui bayaran sewa dan jualan tiket-tiket permainan, yang mana pelancaran karnival telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.

Sepanjang karnival ini, pelbagai aktiviti diadakan antaranya zumba, gerai jualan makanan, jualan Car Boot, permainan menyeronokkan seperti bouncer untuk kanak-kanak, peraduan Mewarna, Hit The Cans, Rent A Bike dan banyak lagi.

Hasil daripada karnival berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Amal Bantuan Pesakit, Kementerian Kesihatan.

Tabung ini dilancarkan pada tahun 2007 dengan nama Tabung Bantuan Kebajikan Kesihatan, sebelum ditukar namanya kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit pada 2011.

Ia ditubuhkan bagi membantu meringankan bebanan para pesakit dan keluarga ke arah meningkatkan kualiti kehidupan dalam memastikan pemedulian kesihatan secara menyeluruh.

ARTIKEL YANG SAMA