Acara Berbasi...

Acara Berbasikal Malam 28 Mac ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Dengan hasrat untuk menyebarkan mesej berbasikal dengan selamat terutamanya semasa berbasikal pada waktu malam, Kelab Basikal Lipat Brunei (Brunei Folding Bike Club) dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Persekutuan Basikal Brunei Darussalam akan mengadakan acara Berbasikal Malam Memperingati Muhammad Ali pada 28 Mac nanti.

Acara berbasikal sejauh 22.4 kilometer itu akan bermula dari Roasted Sip Cafe menuju ke Lebuh Raya Tungku Jerudong melalui Lebuh Raya Muara Tutong sebelum berpatah balik ke kafe berkenaan melalui Jalan Jerudong.

Menurut pihak penganjur, acara itu yang membawa tema, ‘Float Like a Butterfly, Sting Like a Bee…You Can’t Hit What You See!’ memberikan keutamaan kepada keselamatan semasa berbasikal dengan memastikan memakai pakaian yang cerah serta menggunakan peralatan keselamatan dan lampu semasa berbasikal pada waktu malam.

Semasa acara berbasikal itu nanti, langkah-langkah keselamatan akan diambil untuk memastikan keselamatan para peserta termasuk kehadiran pengiring polis, marsyal, lampu keselamatan serta wisel kecemasan sepanjang laluan.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Craig Boyd Allen dijangka akan hadir bagi acara pelepasan para peserta.

Pendaftaran bagi menyertai acara berbasikal itu adalah percuma dan mereka yang berminat diminta untuk mendaftar seawal-awalnya pukul 7 malam pada 28 Mac.

Pelbagai hadiah menarik juga menanti para peserta dalam acara cabutan bertuah semasa acara itu diadakan nanti.