Acara Brunei Nite meriah

Acara Brunei Nite meriah

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Penuntut Brunei di luar negara mempamerkan bakat lakonan dan artistik mereka melalui satu persembahan muzikal diberi nama Codename: Darussalam dalam Acara Brunei Nite 2016 di Great Hall of Imperial College, London baru-baru ini.

Hampir 300 penuntut seluruh UK dan Eire hadir menyaksikan persembahan dianjurkan oleh Persatuan Imperial College Universiti Brunei llege University Society (ICUBS) itu.

Persembahan berkisarkan cerita fiksyen seorang lelaki bernama Safwan yang tidak sengaja menemui beg bimbit rahsia sekali gus mengheretnya ke lembah pergelutan antara agensi pengintipan dan pertubuhan jahat. Beliau kemudiannya menjadi orang penting yang menyelamatkan Negara Brunei Darussalam.

Persembahan tajaan Brunei Shell Petroleum (BSP), Soartech System Sdn Bhd dan Brunei Student Unit (UPP) itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin POKSM DSP Haji Abidin.

Gambar ramai bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai bersama tetamu kehormat.
Antara aksi persembahan dalam acara itu.
Antara aksi persembahan dalam acara itu.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam, pegawai Brunei Investment Agency di London, warga Brunei Student Unit dan penuntut antarabangsa lainnya.

Selain persembahan, Acara Brunei Night juga menyaksikan penyampaian hadiah dan anugerah bagi dua inisiatif lain yang berbeza. Salah satunya ialah Pertandingan Video Online BruLeic (BOVC) dianjurkan Persatuan Leicester Brunei.

Ia mempertandingkan filem-filem pendek berkaitan tema tahun ini iaitu ‘Change’ yang dimenangi oleh Earlson Ave daripada Persatuan Warwick Brunei.

Manakala satu lagi ialah Anugerah Tahunan Persatuan BSUnions dianjurkan Persekutuan Pelajar Brunei (BSUnion). Ia menghargai persatuan cemerlang dalam berbagai-bagai faktor yang dimenangi oleh Persatuan Nottingham Brunei (BruNotts), tempat kedua Persatuan Leicester Brunei (BruLeic), dan Persatuan Leeds Brunei (BruLeeds) tempat ketiga. Sementara itu Persatuan A-Level Brunei (BruAls) menerima anugerah khas.