Acara dinantikan bermula

Acara dinantikan bermula

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Acara yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam iaitu Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun, bagi raja dan pemimpin yang dikasihi akan bermula esok (15 Ogos) dengan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain akan berangkat ke majlis berkenaan di mana orang ramai berpeluang untuk sama-sama menyaksikan adat istiadat yang penuh gilang-gemilang itu.

Majlis keraian akan diteruskan dengan Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 di Istana Nurul Iman. Manakala itu, pada sebelah malam pula bakal menyaksikan Majlis Persantapan bagi memperingati Hari Puja Usia ke-69 Baginda Sultan di Istana Nurul Iman.

Selain daripada majlis-majlis keraian rasmi yang diadakan, orang ramai juga berpeluang untuk meraikan sambutan penuh bermakna dengan mengunjungi ke gerai-gerai perayaan dan kawasan persembahan pentas yang akan diadakan di keempat-empat daerah bermula 15 hingga 31 Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA