Acara kemasyarakatan meriahkan lagi perayaan

Acara kemasyarakatan meriahkan lagi perayaan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG – Acara-acara yang bersifat kemasyarakatan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-69 Tahun, bagi Daerah Temburong masih rancak diadakan baru-baru ini.

Antara acara yang mengambil penyertaan dari pelbagai golongan masyarakat di daerah berkenaan ialah Pesta Rakyat dan Sukan Ria.

Pelbagai aktiviti diselitkan dalam acara tersebut bagi penyertaan para penduduk di daerah ini daripada golongan kanak-kanak sehingga warga emas antaranya menjalin kelupis, mengail (memancing), menebar jala, bermain gasing dan sebagainya.

Tujuan pesta

Pesta kemasyarakatan ini bertujuan untuk mengeratkan dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan sesama masyarakat bagi menjalin hubungan yang baik.

Haji Abdul Hamid ketika menyertai aktiviti Pesta Rakyat dan Sukan Ria Daerah Temburong.
Haji Abdul Hamid ketika menyertai aktiviti Pesta Rakyat dan Sukan Ria Daerah Temburong.
Kaum hawa turut mengambil pelung untuk bermain gasing.
Kaum hawa turut mengambil pelung untuk bermain gasing.
Aktiviti yang dijalankan untuk peserta perempuan.
Aktiviti yang dijalankan untuk peserta perempuan.

Di samping itu, pesta juga dihasratkan agar dapat memupuk semangat kerjasama, bantu-membantu antara satu sama lain serta akan dapat menyemai dan menanamkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan beriadah bersama keluarga.

Majlis Perasmian pesta tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah di Ruang Legar, Kompleks Bumiputera Pekan Bangar.

Di samping itu, pesta yang diselenggarakan oleh Majlis Perundingan Mukim Labu tersebut juga dihasratkan agar dapat memupuk semangat setia kawan, semangat bantu-membantu antara satu sama lain serta akan dapat menyemai dan menanamkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan beriadah bersama keluarga.