ACC komited tingkat keselamatan produk

ACC komited tingkat keselamatan produk

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) sedang berusaha memastikan bahawa produk-produk kosmetik yang digunakan oleh penduduk di rantau ASEAN selamat selain memastikan perniagaan tidak terganggu dan juga membantu mengekalkan keseimbangan yang tepat antara pengawal selia dan pihak berkepentingan.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Pegawai Kanan di Bahagian Perdagangan dan Pemudahan Sekretariat ASEAN, Syed Sagoff Alsagoff, dalam temu bual bersama Media Permata sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kosmetik ASEAN ke-25 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

Menurut beliau lagi, selaras dengan Perintah Kosmetik ASEAN yang ditandatangani pada tahun 2003, badan dan jawatankuasa dari ACC seperti Jawatankuasa Makmal Ujian Kosmetik ASEAN (ACTLC) dan Badan Saintifik Kosmetik ASEAN (ACSB) menyediakan bantuan dalam ujian-ujian produk, meneliti senarai ramuan, bahan-bahan yang dibenarkan dan sebagainya.

“Kita mempunyai penduduk seramai 600 juta di ASEAN, dan kami memberikan perkhidmatan kepada masyarakat ASEAN,” jelas Syed Sagoff apabila ditanya mengenai kepentingan mesyuarat berkenaan diadakan.

“Apa yang kami lakukan di sini adalah membincangkan semua aspek penting yang berkaitan dengan keselamatan pengguna. Matlamat yang paling penting adalah keselamatan pengguna, jadi kami mempunyai pengawal selia dan pihak berkepentingan untuk mengekalkan keseimbangan yang betul dan memastikan bahawa perdagangan tidak akan terhalang, dan pengguna sentiasa dilindungi pada masa yang sama,” tambahnya lagi.

Mesyuarat ACC yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.
Mesyuarat ACC yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.

Manakala itu, Ellys Haji Mohammed, ahli farmasi dari Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan ketika ditemui pula menjelaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Farmasi diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Perintah Kosmetik ASEAN di Negara Brunei Darussalam.

Jelasnya, mesyuarat berkenaan membolehkan mereka membincangkan hal-hal mengenai had-had yang disyorkan di ASEAN agar produk yang diimport ke sesebuah negara akan berjalan dengan lancar, bersesuaian dengan tujuan perjanjian yang telah ditandatangani oleh menteri-menteri ekonomi di ASEAN pada 2003, iaitu untuk menghapuskan halangan perdagangan dan teknikal berkaitan dengan produk kosmetik, agar tidak ada rintangan untuk pergerakan produk dari sebuah negara ke negara ASEAN lain.

Menyentuh mengenai barangan kosmetik, beliau telah menekankan bahawa semua produk kosmetik mestilah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi sebelum ia diimport masuk ke Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA