ACEC labuh tirai

ACEC labuh tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Persidangan Kejuruteraan Awam ASEAN (ACEC) 2016 yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB) melabuhkan tirainya hari ini selepas menyaksikan 20 pembentangan oleh perwakilan dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kertas-kertas kerja yang dibentangkan merangkumi pelbagai sub bidang kejuruteraan awam termasuklah kejuruteraan struktur, material, geoteknikal, pengangkutan dan alam sekitar.

ACEC yang merupakan satu daripada 10 persidangan serantau dalam pelbagai bidang kejuruteraan yang dianjurkan bersama oleh AUN/SEED-Net (Rangkaian Universiti ASEAN/Rangkaian Pembangunan Pendidikan Kejuruteraan Asia Tenggara) dengan pelbagai anggota institusi penganjur di ASEAN setiap tahun. Tahun ini, ACEC dianjurkan bersama oleh UTB buat kali pertama yang diselajurkan dengan Persidangan Antarabangsa Brunei mengenai Kejuruteraan dan Teknologi 2016 kali ke-6.

Sammy Yip semasa membentangkan kertas kerjanya.
Sammy Yip semasa membentangkan kertas kerjanya.

Pemangku Pengarah Eksekutif dan Ketua Penasihat AUN/SEED-Net, Profesor Dr. Ueda Tamon dalam ucaptama pada permulaan persidangan mengatakan, “Persidangan Serantau AUN/SEED-Net merupakan acara akademik tahunan bagi penyelidik dan pelajar untuk berkongsi penemuan penyelidikan dengan profesional lain di ASEAN dan juga Jepun. Ia bukan sahaja membuka pintu kepada mereka yang mencari peluang untuk menyebarkan penyelidikan mereka dan mencari respons daripada peserta lain, namun persidangan serantau juga membantu mereka menemui horizon baru bagi tema penyelidikan mereka dan memperluaskan lagi rangkaian profesionalisme mereka dalam kejuruteraan awam.

Kertas utama persidangan bertajuk ‘Long Term Management of Bridges – Fatigue Analysis of RC Bridge Deck Slabs’ dibentangkan oleh Profesor Kejuruteraan dan Dasar bagi Pembangunan Mapan di Universiti Hokkaido, Jepun, Profesor Takashi Matsumoto.

Dua pembentang jemputan lain ialah Pengurus Projek Jambatan Temburong, Sammy Yip dan Pengarah Urusan Pyunghwa Engineering Consultans Ltd, cawangan Brunei, Ham Jihun yang membentangkan mengenai projek Jambatan Temburong dan Jambatan Sungai Kebun.

ARTIKEL YANG SAMA