Aceh dilanda ‘tsunami’ pelancongan

Aceh dilanda ‘tsunami’ pelancongan

PADA 26 Disember lalu, genap 12 tahun musibah bencana gempa bumi tektonik dengan kekuatan 9.1 hingga 9.3 pada skala Richter yang disusuli dengan kejadian tsunami di Aceh, Indonesia. Bencana dahsyat itu telah meragut 130,736 nyawa daripada 167,799 orang mangsa. Dalam kejadian itu, gelombang tsunami paling ganas telah menenggelamkan tanah Aceh. Dahsyatnya gempa itu turut dirasai hingga ke Sri Lanka, India, Thailand, Maldives, Malaysia dan Somalia.

Trauma akibat kejadian itu masih lagi dirasai oleh penduduk Aceh sehingga kini. Ketika gempa bumi dengan kekuatan 6.5 pada skala Richter di Kabupaten Pidie Jaya, Aceh terjadi pada 7 Disember lalu, penduduk mengimbau peristiwa tsunami itu. Pada waktu itu, mereka berlari ke kawasan yang lebih tinggi terutamanya penduduk yang tinggal di tepian pantai walaupun gelombang tsunami tidak berlaku dalam kejadian terbaharu.

Menceritakan pengalaman ketika gempa bumi yang berlaku baru-baru ini, warga Pidie Jaya, Murniati yang sedang hamil memberitahu, dia berlari ke kawasan yang lebih tinggi di belakang rumahnya. Katanya, sekumpulan pelajar agama di sebuah sekolah pondok berhampiran rumahnya turut melarikan diri ke arah bukit. “Ketika itu, mereka hendak menunaikan solat Subuh, namun berlaku gegaran semasa mahu memasuki masjid. Guru mereka mengarahkan semua pelajar untuk meninggalkan masjid,” ujarnya.

Tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 masih belum hilang daripada memori mereka. Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) di Lautan Hindi, sebelah barat Aceh. Dalam tempoh antara 15 dan 20 minit selepas gempa bumi itu, amukan ombak raksasa setinggi 30 meter yang dicetuskan oleh gegaran itu membadai kawasan pesisir pantai Indonesia terutamanya Banda Aceh.

Tsunami Lautan Hindi 2004 merupakan bencana alam keenam paling banyak membunuh manusia di dunia, selepas Banjir China pada tahun 1931 yang mengorbankan lebih 2.5 juta orang, Taufan Bhola di Bangladesh tahun 1970 (500,000 orang), Gempa Bumi Haiti tahun 2010 (316,000 orang), Gempa Bumi Tangshan, China 1976 (242,419 orang) dan Gempa Bumi Haiyuan, China tahun 1920 (234,000 orang).

Siap siaga

Bagi memperingati musibah bencana alam itu, beberapa aktiviti dijalankan di Aceh. Pihak pemerintah Aceh mengadakan program membaca zikir beramai-ramai selain memberi sumbangan wang kepada 600 anak yatim di Taman Ratu Safiatuddin, Banda Aceh.

“Melalui zikir bersama, kami berdoa agar Aceh terhindar daripada pelbagai musibah dan dugaan,” kata Pegawai Pelaksana Gabenor Aceh, Soedarmo.

Seluruh rakyat diminta mengambil pengajaran di sebalik musibah yang melanda Aceh dan memperbanyakkan kebajikan serta memperkuatkan perpaduan. Doa beramai-ramai turut diadakan di masjid-masjid, pusat pendidikan agama dan tempat umum lainnya di Sabang, Aceh. “Sebagai umat beragama, sudah sewajarnya kita saling mendoakan apatah lagi apabila tsunami itu menelan ratusan ribu nyawa,” kata warga Kota Sabang, Heri di Pantai Paradiso.

Bagi penduduk Sabang, Rudy, kerosakan di kawasan itu tidaklah seteruk di Banda Aceh, Meulaboh dan sekitarnya. Sementara itu, Pemerintah Kabupaten Aceh Barat mengajak semua lapisan masyarakat supaya menjadikan tragedi tsunami tahun 2004 sebagai pengajaran bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi bencana alam seperti yang berlaku 12 tahun lalu.

Pegawai Daerah Aceh Barat, Rachmad Fitri berkata, gempa dan tsunami seperti ini boleh berulang serta persiapan untuk berdepan dengan situasi seumpamanya sangat penting. “Kami tidak dapat melupakan peristiwa 12 tahun lalu itu, dimulakan dengan gempa dan disusuli tsunami sehingga menghancurkan Aceh Barat serta meragut ratusan ribu nyawa.

Tarikan pelancongan

“Tentu banyak pengajaran berharga diperoleh daripada kejadian itu antaranya, kami berusaha untuk tidak mengulangi kesalahan yang mengundang bencana,” katanya. Rachmad memberitahu, bencana alam pasti akan terjadi, hanya waktunya saja tidak diketahui. “Tsunami memang telah terjadi, namun bencana lain seperti banjir, tanah gelongsor dan gempa sering berlaku. Kita harus mempersiapkan diri bagi menghadapi semua ini,” ujarnya.

Kepingan atau sisa peninggalan runtuhan bangunan akibat gempa bumi dan badai tsunami pada 12 tahun lalu kini menjadi tarikan pelancongan di Aceh.
Kepingan atau sisa peninggalan runtuhan bangunan akibat gempa bumi dan badai tsunami pada 12 tahun lalu kini menjadi tarikan pelancongan di Aceh.
Seluruh rakyat diminta mengambil pengajaran di sebalik musibah yang melanda Aceh dan memperbanyakkan kebajikan serta memperkuatkan perpaduan.
Seluruh rakyat diminta mengambil pengajaran di sebalik musibah yang melanda Aceh dan memperbanyakkan kebajikan serta memperkuatkan perpaduan.

Pihak pemerintah turut melakukan segala usaha pencegahan dengan pembangunan infrastruktur dan sumber manusia untuk jangka pendek dan jangka panjang. Kepingan atau sisa peninggalan runtuhan bangunan akibat gempa bumi dan badai tsunami pada 12 tahun lalu kini menjadi tarikan pelancongan di Aceh.

Ketua Himpunan Pemandu Pelancong Indonesia Banda Aceh, Siti Jihadun Nufus berkata, banyak agensi pelancongan menawarkan pakej ke lokasi-lokasi seperti itu di Banda Aceh. “Setiap pakej pelancongan yang ditawarkan, pasti ada kunjungan ke tempat-tempat berlakunya bencana tsunami seperti Kapal Generator Elektrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung, Kapal di atas Rumah (Lampulo) serta kunjungan ke Muzium Tsunami,” katanya.

Siti Jihadun juga mengakui sering membawa sejumlah pelancong tempatan dan asing yang berkunjung ke Aceh singgah ke destinasi-destinasi pelancongan itu. “Ketika saya membawa pelancong asing yang menaiki Kapal Persiaran MS Silver Discovery, waktu itu ada yang sampai menitiskan air mata mendengar cerita tentang musibah tsunami yang melanda Aceh,” katanya semasa kejadian itu dia berusia 12 tahun.

Kapal PLTD Apung seberat 2,600 tan menjadi saksi tragedi tsunami. Kapal yang berada di Pelabuhan Ulee Lheue itu dipukul gelombang laut yang kuat sejauh kira-kira satu kilometer(km) ke daratan di kawasan penduduk di Gampon Punge Blang Cut, Banda Aceh.

“Di sekitar lokasi Kapal PLTD Apung, pengunjung mengamati sisa-sisa runtuhan bangunan akibat tsunami sambil mengabadikan rakaman gambar di lokasi yang dianggap menarik,” katanya. Muzium Tsunami setinggi empat tingkat dengan bentuk atapnya menyerupai ombak besar yang dibina pada tahun 2009 menjadi simbol memori kepada tragedi memilukan itu. – Agensi