Acer Aspire R 11 dilengkapi Windows 10

Acer Aspire R 11 dilengkapi Windows 10

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Acer melalui Concept Computer Sdn Bhd telah melancarkan peranti pertama dalam pasaran yang datang tersedia dengan sistem operasi Windows 10 baru, iaitu Acer Aspire R 11, pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir melancarkan peranti itu ialah Pengurus Bahagian Perkhidmatan & Penjualan Acer cawangan Miri dan Brunei, Richard Soo dan Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao.

Dengan ketebalan 11.6 inci, Acer Aspire R 11 yang merupakan tambahan baru dalam barisan peranti boleh ubah ini memiliki faktor bentuk paling kecil dalam kategorinya.

Ia direka dengan engsel 360 darjah yang membolehkannya diubah kepada empat mod iaitu notebook, pad, paparan dan tent, bagi pengalaman pengguna yang lebih efisien dan menyeluruh.

Dari segi reka bentuknya pula, peranti ini tampak menyerlah dengan penutup tekstur seperti fabrik yang bukan sahaja kelihatan menarik malahan ia juga membolehkan genggaman lebih kukuh dan kalis calar.

Richard Soo ketika menjelaskan mengenai Acer Aspire R11 yang dilengkapi Windows 10 baru.
Richard Soo ketika menjelaskan mengenai Acer Aspire R11 yang dilengkapi Windows 10 baru.
Richard Soo (tengah), Vincent Pao (3 kiri) bergambar ramai pada Majlis Pelancaran Acer Aspire R 11.
Richard Soo (tengah), Vincent Pao (3 kiri) bergambar ramai pada Majlis Pelancaran Acer Aspire R 11.

Manakala itu, skrin sesentuh HD bersaiz 11.6 incinya pula menampilkan teknologi Zero Air Gap yang menawarkan paparan yang lebih jelas dan menyerlah.

Skrinnya juga dilindungi dengan Corning Gorilla Glass bagi perlindungan daripada calar, di samping lapisan anti cap jari khas yang mengekalkan skrin bersih dan jelas apabila menggunakan skrin sesentuh.

Acer Aspire R 11 juga didatangkan dengan beberapa ciri baru seperti Acer TrueHarmony yang membawa aspek hiburan ke satu tahap baru, memberikan kualiti audio seperti sebenar yang membuatkan aktiviti menonton filem, mendengar muzik atau bermain permainan video lebih menyeronokkan.

Sementara itu, sistem operasi Windows 10 yang turut dilengkapkan pada beberapa peranti lain yang dijual di Concepts Computer, kini menawarkan pengalaman lebih pantas dan biasa yang lebih terjamin dan dikemas kini secara automatik.

Orang ramai yang membeli Acer Aspire R 11 juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam peraduan “Why Not Win a Mazda3?” yang sedang berlangsung, dengan peluang untuk memenangi sebuah Mazda3 baru serta pelbagai hadiah menarik lain apabila membeli produk-produk terpilih.