Acer lancar komputer riba unggul

PUTRAJAYA, 17 Mei – Acer Malaysia telah melancarkan komputer riba perdananya, Predator 21 X, komputer permainan video yang pertama di dunia dengan skrin melengkung.

Menurut Pengurus Besar Produk, Jualan dan Pemasaran, Acer Sales & Services Sdn Bhd, Chan Weng Hong, hanya satu sahaja akan dijual di Malaysia daripada 300 unit yang diedarkan di seluruh dunia, produk yang sangat eksklusif itu dijual pada harga RM39,999.

Peminat permainan komputer yang mahu memiliki platform yang sangat terhad itu boleh membuat tempahan melalui ama.marcom@acer.com, urus niaga akan terlaksana berdasarkan siapa yang membuat pembayaran pertama,” kata Chan kepada pemberita selepas melancarkan produk tersebut di sini hari ini.

Predator X melonjakkan permainan video komputer ke tahap terbaharu dengan pemproses Generasi Ketujuh Intel Core i7, kad grafik berkembar NVIDIA GeForce GTX 1080 dalam Scalable Link Interface (SLI) dan memori 64GB DDR4-2400.

Model komputer riba Predator 21 X yang menjadi idaman buat gamers-gamers di dunia. – Bernama
Model komputer riba Predator 21 X yang menjadi idaman buat gamers-gamers di dunia. – Bernama

Ia juga menawarkan rekaan penyejukan termaju dengan lima sistem kipas yang dipasang dengan tiga bilah logam AeroBlade yang sangat nipis pada setiap satu.

Peranti berkenaan mampu mengekalkan kesemua sistem berjalan pada pada suhu optimum untuk kelancaran prestasi semasa sesi permainan yang sengit.

“Predator 21 X berserta pelbagai peranti keluaran Acer yang lain mengukuhkan lagi komitmen kami dalam dunia permainan video premium bagi melengkapkan keperluan peminat di seluruh dunia,” kata Chan. – Bernama