Acer rombak korporat, pendapatan merosot

Acer rombak korporat, pendapatan merosot

TAIPEI, 25 Mac (AFP) – Pengeluar komputer peribadi Taiwan Acer melihat pendapatan tahun 2015 merosot sebanyak dua pertiga tatkala ia mengumumkan rombakan korporat yang memisahkan perniagaan barunya, termasuk perkhidmatan awan dan peranti pintar.

Keuntungan bersih sepanjang tahun mencecah Tw$603.7 juta, merosot 66 peratus berbanding tahun sebelumnya, sementara pendapatan merosot 20 peratus kepada Tw$263.78 bilion, kata syarikat semalam.

Acer mendedahkan dalam satu kenyataan berasingan bahawa ia akan menubuhkan sebuah syarikat pegangan untuk mengendali perniagaan barunya mulai hari ini, yang dikatakannya akan membantu mempercepat “perubahan syarikat pada keseluruhannya.”

“Struktur baru itu akan memenuhi pelbagai keperluan pembangunan produk perkakasan IT berbanding perkhidmatan awan, peranti pintar dan e-perniagaan,” kata Acer.

Ia tidak memberikan butiran mengenai sama ada rombakan akan bermakna kehilangan pekerjaan dan syarikat tidak dapat dihubungi hari ini.

Acer – pernah menjadi pengeluar PC kedua terbesar dunia – bergelut tatkala permintaan berkurangan dan persaingan meningkat daripada Apple.

Penganalisis berkata pemisahan perniagaan barunya akan membuka laluan kepada mana-mana jualan divisyen syarikatnya pada masa akan datang.

“Dengan menubuhkan sebuah syarikat pegangan pelaburan, Acer mungkin menjual atau memperkenalkan pemegang saham baru kepada mana-mana syarikat subsidiari di bawah struktur pegangan,” kata penganalisis Fubon dalam satu nota.

Penganalisis juga berkata rombakan mungkin membentuk sebahagian daripada pelan pewarisan oleh pengasas Stan Shih, yang kembali daripada persaraan untuk jangka masa pendek untuk menyelamat syarikat selepas ia mencatat kerugian banyak.

Anak lelakinya Maverick Shih dilantik semalam untuk mempengerusikan bersama perkhidmatan awan (BYOC) dan divisyen peranti pintar.