ACIA bantu tingkat pelaburan langsung asing

ACIA bantu tingkat pelaburan langsung asing

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Usaha untuk mencapai pengaliran pelaburan bebas di dalam ASEAN merupakan salah satu matlamat utama dan menjadi salah satu daripada tunggak utama dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) iaitu untuk mempunyai satu asas produksi dan pasaran.

Dalam mencapai hasrat itu, sejak penguatkuasaan Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN (ACIA) pada 2012, ia telah banyak meningkatkan jumlah pelaburan langsung asing di dalam dan yang memasuki ASEAN disebabkan oleh sentimen pelabur-pelabur yang positif.

Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Lim Jock Hoi berkata, ia dapat disaksikan dengan trend meningkat pengaliran pelaburan langsung memasuki ASEAN yang melebihi $117 bilion pada 2013 dan dianggarkan akan meningkat kepada $136 bilion pada 2014.

“Di samping itu, pengaliran pelaburan langsung dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN juga menunjukkan trend yang positif iaitu meningkat daripada $19 bilion pada 2013 kepada $23 bilion pada 2014 yang mana ia terus menjadi salah satu sumber pelaburan utama di negara-negara ASEAN.

“Bagi Negara Brunei Darussalam, jumlah pelaburan yang diperoleh daripada rakan-rakan ASEAN yang lain pada 2014 adalah sebanyak $241 juta iaitu kira-kira satu suku daripada jumlah keseluruhan Pelaburan Langsung Asing negara,” katanya semasa berucap pada Forum ACIA yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Dato Paduka Lim Jock Hoi menyampaikan kata alu-aluan di majlis itu.
Dato Paduka Lim Jock Hoi menyampaikan kata alu-aluan di majlis itu.
TYT Todd Mercer yang menghadiri forum berkenaan.
TYT Todd Mercer yang menghadiri forum berkenaan.
Di antara yang menghadiri Forum ACIA, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Di antara yang menghadiri Forum ACIA, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

Forum yang membawa tema Mentransformasikan Pelaburan di Brunei Melalui ACIA itu di sertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer serta para peserta dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan dan wakil-wakil dari sektor perniagaan.

Dato Paduka Lim Jock Hoi juga menyatakan bahawa 2015 merupakan tahun mercu tanda bagi ASEAN yang mana ASEAN terus berusaha ke arah penubuhan AEC yang berpandukan kepada empat tunggak utama iaitu sebuah asas produksi dan pasaran, sebuah rantau ekonomi yang kompetitif, sebuah rantau yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang saksama serta sebuah rantau yang berintegrasi sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Empat tunggak utama itu merupakan prinsip yang memandu komuniti ekonomi ASEAN yang akan dilaksanakan sepenuhnya sebelum akhir 2015 yang mana ACIA merupakan salah satu inisiatif yang dihasratkan untuk mengukuhkan ASEAN sebagai sebuah destinasi pelancongan yang penting.

Forum itu dihasratkan untuk memperkenalkan dan mempromosikan ACIA kepada para peserta khususnya peruntukan yang terdapat dalam perjanjian berkenaan dalam kalangan penggubal dasar, ahli-ahli akademik serta sektor perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA