ACMF tumpu memudahcarakan bina upaya

ACMF tumpu memudahcarakan bina upaya

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2016-2020 memberi tumpuan kepada usaha memudahcarakan bina upaya bagi negara anggota, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata ACMF telah bekerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang mana satu analisis keperluan telah dijalankan untuk memacu pembangunan program bina upaya yang dirangka khusus untuk negara-negara anggota secara individu dan berkumpulan.

“ACMF melancarkan Program Pengawal Selia Muda ASEAN sebagai program pertama yang akan dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Pasaran ACMF,” katanya. Program baharu itu bertujuan untuk menggalakkan perkongsian bersama dan pertukaran kepakaran dan pengalaman dalam kalangan pengawal selia pasaran modal dalam membina bekalan tenaga kerja berterusan, katanya.

Sementara itu, SC berkata ACMF hari ini meluluskan Pelan Pelaksanaan Tahunan 2016, yang menggariskan keutamaan segera ACMF bagi tahun ini, ketika mesyuarat ke-24 yang dihoskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Thailand.

“Pelan Tahunan ini telah dibangunkan berdasarkan Pelan Tindakan ACMF yang telah diluluskan sebelum ini dan akan dibentangkan di Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN pada April 2016 untuk kelulusan,” katanya.

SC berkata mesyuarat ke-24 ACMF menyambut baik kemajuan rangka kerja bagi penawaran rentas sempadan bagi skim pelaburan kolektif ASEAN.

“ACMF mengalu-alukan kumpulan kerja dan negara anggota yang sedang berusaha untuk menyertai Rangka Kerja Skim Pelaburan Kolektif ASEAN dengan komitmen mereka.

ARTIKEL YANG SAMA