ACMMC ke-5 bincang penubuhan ACMM

ACMMC ke-5 bincang penubuhan ACMM

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Ketua Pegawai Perubatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel (Dr) Mohd Hafizul bin Mohd Hassan bersama delegasi negara-negara anggota ASEAN telah menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Perubatan Tentera ASEAN (ACMMC) ke-5 yang berlangsung di The Thingaha Hotel, Nay Pyi Thaw, Myanmar yang dihoskan oleh Perkhidmatan Perubatan Tentera Myanmar pada 27 April hingga 1 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, terdahulu sebelum persidangan berkenaan, Kolonel (Dr) Mohd Hafizul telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Pengarah Pimpinan Perkhidmatan Perubatan Angkatan Bersenjata Myanmar, Brigedier Jeneral (Prof) Soe Win yang mana semasa pertemuan itu, perbincangan meliputi pelbagai perkara termasuk kemungkinan mengadakan kerjasama dalam penyelidikan perubatan di antara kedua-dua buah negara.

Dalam pada itu, para ketua delegasi juga berpeluang untuk mengadakan kunjungan muhibah kepada Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis perasmian Persidangan ACMMC ke-5 yang membawa tema Military Medical Services: Benefits to Community ialah Ketua Staf Am Angkatan (Tentera Darat, Laut dan Udara) Angkatan Bersenjata Myanmar, Jeneral Hla Htay Win.

Menurut kenyataan itu, persidangan berkenaan dirasmikan oleh Brigedier Jeneral (Prof) Soe Win di mana semasa persidangan berkenaan beberapa isu telah dibincangkan di antara ketua-ketua perubatan tentera ASEAN termasuk penubuhan Pusat ASEAN bagi Perubatan Tentera (ACMM) yang pada mulanya disampaikan sebagai kertas konsep semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-9 di Langkawi, Malaysia.

Kolonel (Dr) Mohd Hafizul semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Brigedier Jeneral (Prof) Soe Win.
Kolonel (Dr) Mohd Hafizul semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Brigedier Jeneral (Prof) Soe Win.

Di samping itu, penubuhan sebuah pasukan bantuan kemanusiaan ASEAN dan rekaan logo ACMMC juga di antara isu-isu yang diketengahkan semasa persidangan itu.

Semasa ACMMC ke-5, delegasi-delegasi juga berpeluang untuk melawat Muzium Perang di Bandar Zeyathiri, Nay Pyi Taw di mana muzium itu dibuka secara rasmi pada 2012 bersempena dengan Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Myanmar ke-67.

Muzium itu meliputi kawasan seluas 603.68 ekar dan mempunyai bangunan-bangunan berasingan yang menempatkan koleksi daripada tentera udara, laut dan darat.

Para delegasi juga mengadakan lawatan ke No 2 Defence Services General Hospital yang mempunyai kapasiti sebanyak 1,000 katil.

Lawatan itu berakhir dengan lawatan ke Defence Services Medical Research Center yang dibina pada 2008 dan berfungsi sepenuhnya pada 2012.

Menurut kenyataan itu lagi, Program Saintifik Pegawai-Pegawai Perubatan Tentera Muda ASEAN (YAMMOs) juga diadakan secara serentak di mana Mejar Dr Isehardy Murni membentangkan kertas kerja bertajuk The association of obesity and hypertension: A cross-sectional study of Senior Military Personnel.

Kenyataan juga menyatakan bahawa beberapa lawatan juga diaturkan bagi delegasi-delegasi YAMMO termasuk ke Uppatasanti Pagoda, Royal Elephant Palace dan Satta Sattaha Pagoda.

Di akhir persidangan itu, Filipina diumumkan akan menjadi hos bagi ACMMC ke-6 pada 2016.

ARTIKEL YANG SAMA