ACP Junaidi Bujang dilantik ketua polis Miri baru

ACP Junaidi Bujang dilantik ketua polis Miri baru

MIRI, 5 Okt (Bernama) – Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor, ACP Junaidi Bujang hari ini dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Miri yang baharu.

Junaidi, 59, berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menggantikan Ketua Polis Daerah Miri sebelum ini SAC Gan Tian Kee yang dinaikkan pangkat menjadi Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak sejak 15 Jun lalu.

Upacara ringkas serah dan terima tugas dilakukan antara Junaidi dan Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit yang memangku jawatan Ketua Polis Miri yang turut disaksikan Gan pada pagi ini.

Dalam ucapan ringkas selepas majlis tersebut, Junaidi meminta semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menangani masalah jenayah di bandar raya Miri.

Mempunyai pengalaman luas dalam siasatan jenayah serta polis trafik, Junaidi yang berasal dari Kuching, berkhidmat selama 38 tahun dengan pengalaman berkhidmat di Sarawak, Negeri Sembilan dan Selangor.