ACT+1 sepakat 5 resolusi

ACT+1 sepakat 5 resolusi

BANGKOK, 11 Okt – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) baru-baru ini menghadiri Konvensyen Majlis Guru-guru ASEAN (ACT+1) ke-31 di Pusat Konvensyen Bangkok, Centara Grand di Central World, Bangkok Thailand.

PGGMB diwakili oleh Presidennya, Haji Antin bin Ahad yang turut dihadiri oleh delegasi daripada enam lagi negara ASEAN lain termasuklah Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam serta Republik Korea (ACT+1) yang kemudiannya menandatangani resolusi yang disepakati.

Konvensyen yang bertemakan Peranan Kreatif dan Produktif Guru-guru bagi Komuniti ASEAN itu dianjurkan bersama oleh Majlis Guru-guru Thailand dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Thailand dan dirasmikan pembukaannya oleh Yang Teramat Mulia Puteri Maha Chakri Sirindhorn.

Konvensyen itu menyetujui lima resolusi antaranya percaya bahawa pendidikan merupakan hak semua pelajar di seluruh dunia yang perlu disediakan oleh setiap kerajaan, sama rata dan menyeluruh serta berkualiti kepada pelajarnya, tanpa mengira etnik, kepercayaan, ideologi politik, jantina dan sosial serta status ekonomi.

Pengiktirafan yang mana guru berhak menerima pembangunan profesional berkualiti dan juga pampasan serta faedah lain yang membolehkan mereka menjalani hidup lebih berkualiti bagi mempromosikan kreativiti dan produktiviti.

Haji Antin (kiri) semasa menghadiri konvensyen ACT+1 di Bangkok.
Haji Antin (kiri) semasa menghadiri konvensyen ACT+1 di Bangkok.

Menekankan bahawa dalam konteks global dan serantau semasa, bukan hanya kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, malahan keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan bekerja saling bergantungan.

Menggesa agar ahli persatuan menggalakkan pihak berkuasa masing-masing untuk mengetengahkan pendidikan karakter dan kewarganegaraan global dalam kurikulum semasa dalam usaha membangunkan dan mengongsi kreativiti dan produktiviti pelajar.

Manakala dalam resolusi terakhir, konvensyen menyetujui untuk mengenal pasti pendidikan berkualiti bagi membolehkan orang ramai mengharungi arus perubahan selain merangsang pembangunan global dan dalam masa yang sama menghormati dan memelihara kepelbagaian budaya.

ARTIKEL YANG SAMA