Adab, akhlak bersama Al-Quran

Adab, akhlak bersama Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan program kokurikulum di samping melahirkan pelajar yang memiliki aqidah yang kukuh, akhlak yang mulia dan bertakwa, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini telah mengadakan Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi bulan Ogos 1437H/2016M.

Program pada bulan ini yang bertemakan ‘Adab dan Akhlak bersama Al-Quran serta Kelebihan Majlis Khatam Al-Quran’ telah dimulakan di Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan pada sebelah pagi bagi semua sekolah-sekolah Arab.

Manakala itu, bagi sekolah-sekolah agama di seluruh negara, program berkenaan akan diadakan pada jam 2 petang.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, ia diadakan di Sekolah Ugama Madang, manakala Daerah Tutong di Sekolah Ugama Penanjong, Daerah Belait pula diadakan di Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong dan Daerah Temburong di Sekolah Ugama Sultan Hashim, Batu Apoi.

Tema program keagamaan kali ini memberikan kefahaman kepada pelajar mengenai keistimewaan adab-adab dan akhlak bersama Al-Quran.

Antara mereka yang menghadiri program berkenaan kelmarin.
Antara mereka yang menghadiri program berkenaan kelmarin.

Pelajar dan warga sekolah diingatkan agar sentiasa mengamalkan membersihkan mulut dengan bersugi sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca Al-Quran dengan keadaan suci daripada hadas (berwudhu), membaca di tempat yang bersih dan terpilih, menghadap kiblat, membaca Isti’azah apabila ingin memulakan bacaan, membaca Basmalah pada awal surah kecuali Surah At-Taubah dan menghormati Al-Quran daripada melakukan perbuatan yang meremehkan Al-Quran.

Sementara itu, kelebihan orang yang membaca Al-Quran hingga khatam, 60,000 malaikat mendoakan ke atasnya ketika ia khatam dan Al-Quran mampu menyinarkan hati pembacanya.

Manakala itu, dengan mengadakan majlis khatam dan perhimpunan berkenaan adalah suatu amalan yang menjanjikan ganjaran pahala yang besar, mereka akan mendapat keberkatan dan rahmat serta doa dikabulkan, diturunkan ketenangan kepada mereka dan diliputi rahmat dari Allah S.W.T serta malaikat ada bersama-sama dalam majlis itu.

Acara program dimulakan dengan tazkirah ‘Adab dan Akhlak bersama Al-Quran serta Kelebihan Majlis Khatam Al-Quran’ oleh salah seorang tenaga pengajar di sekolah-sekolah berkenaan dan diteruskan dengan bacaan Tausyeh serta diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.