Adab teratur, makan lebih selesa

MAKAN di luar bersama anak-anak tentu menuntut kesabaran. Maklumlah anak-anak perangainya diluar jangkaan kita. Tidak kiralah makan di restoran atau kedai tepi jalan, anak-anak perlu didedahkan dengan protokol semasa makan.

Sebenarnya mengajar anak tentang adab sopan dan tertib di meja makan menggalakkan perkembangan kemahiran sosial anak dan keyakinan diri. Didik anak-anak dengan mencuba tip ini yang membantu anda tidak tertekan jika makan di luar. Tetapi bagaimana anda mengajar anak sopan dan tertib di meja makan.

Berikut adalah panduan yang boleh dipraktikkan oleh ibu ayah agar anak tidak melakukan hal makan di kedai makan atau restoran.

Pastikan ada menu kanak-kanak

Pastikan restoran menyediakan menu untuk anak atau ‘Kid Menu’. Biasanya restoran ini menyediakan menu yang sihat dan tidak pedas untuk kanak-kanak.

Anak-anak selalunya suka hidangan yang disediakan dengan cara bergoreng seperti fish and chip,fish fingers atau bubur nasi.

Ruang bermain

Ada restoran yang menyediakan ruang bermain untuk anak-anak. Jika makanan yang dipesan masih belum sampai, anak-anak boleh bermain. Memang ia dapat membantu untuk mengelakkan anak daripada terus mengamuk.

Jauhkan gajet

Jika di rumah memang diharamkan untuk bermain gajet di meja makan, begitu juga semasa di restoran. Katakan kepada anak-anak bahawa ketika makan, tumpuan harus diberikan kepada makanan. Cara ini secara tidak langsung mengajar anak tentang displin.

Bawa beg diaper

Biasanya kejadian ingin berkencing dan terkencing atau memang membuang air besar memang menjadi perkara biasa di kalangan anak kecil.

Jadi jangan lupa bawa beg diaper yang mengandungi lampin pakai buang, tisu basah dan pakaian tambahan. Juga bawa ‘bib’ atau pelapik makanan untuk mengelak makanan daripada terkena pakaian anak.

Makan awal

Jika anda bercadang untuk mahu makan di luar, pastikan waktu yang dipilih adalah bukan masa anak tidur atau lapar.

Ia adalah penting untuk mengelak anak daripada mengamuk kerana mengantuk atau lapar.

Jadi adalah digalakkan untuk keluar makan awal. Tetapi bila makan di luar melepasi waktu si kecil biasanya tidur, maka adalah lebih baik untuk membawa stroller bagi memudahkan anda menguruskan anak.

Bawa bekalan permainan anak

Bawa beberapa permainan, buku, pensel warna dan apa sahaja yang membuatkan anak dapat duduk diam dan tidak membuat bising semasa menunggu makanan dihidangkan atau semasa anda sedang menjamu selera.

Terangkan sikap yang baik

Alasan, ‘biarlah budak-budak kan..” tidak boleh digunapakai. Anak-anak perlu diajar tertib semasa makan di luar.

Sebelum anda dan anak-anak keluar rumah, beritahu kepada anak tentang sikap yang baik semasa di restoran seperti duduk diam, tidak berlari-lari, tidak berbuat bising, makan dengan baik dan terangkan berapa lama akan berada di restoran.

Jika anda tidak memberitahu kepada anak-anak bagaimana sikap yang baik di meja makan, mereka tidak akan belajar dan anda memerlukan masa yang lebih untuk beri tumpuan kepada mereka semasa makan.

Fikirkan tempat duduk

Pilih ruang makan di bahagian sudut berbanding di tengah restoran. Gelagat anak-anak anda tidak akan menjadi tumpuan pengunjung lain.

Ini juga akan membantu mengelakkan sebarang bunyi atau gangguan kanak-kanak lain  daripada menjadi terlalu ketara kebisingannya.

Pilihan meja makan

Hati-hati terhadap benda-benda berbahaya yang mungkin diraih si kecil dari meja, seperti pisau, garfu, pinggan atau gelas yang mudah pecah. Jika anda bimbang ada yang jatuh atau pecah, boleh bawa gelas atau pinggan khusus kanak-kanak daripada rumah.