ADAK bantu Kenya tangani kes doping

ADAK bantu Kenya tangani kes doping

NAIROBI, 15 Nov (Agensi) – Kabinet semalam meluluskan cadangan bagi penubuhan Agensi Anti Doping Kenya yang apabila beroperasi kelak akan dikenali dengan nama singkatannya ADAK.

Pada persidangan Parlimen negara itu Jumaat lepas, Kabinet menggariskan objektif penubuhan ADAK ,yang menurut anggota perundangannya, meskipun sudah lama wujud sebuah agensi seumpama itu di negara tersebut, namun keberkesanannya masih menjadi kesangsian.

ADAK antara lain diberikan mandat menguatkuasakan kawalan doping di negara itu, mempromosi integriti sukan bebas dadah selain mengendalikan pendakwaan kes-kes anti doping.

Agensi itu juga diberi tugas dengan kerjasama Pertubuhan Anti Doping Serantau (RADO) , Agensi Anti Doping Dunia (WADA) untuk menjalankan pelbagai aktiviti anti doping di Kenya.

Arahan Kabinet itu dibuat di tengah-tengah laporan suruhanjaya bebas WADA yang memperakui bagi penggantungan Rusia ke atas semua pertandingan atletik dan menuduh negara itu “mensabotaj” Sukan Olimpik London 2012 dengan kaedah yang sistematik, kaedah yang “menutup, memusnahkan dan membayar wang untuk menyembunyikan ujian doping.”