Adakah ijazah saya tidak laku?

Adakah ijazah saya tidak laku?

SAYA merupakan bekas graduan yang berumur lingkungan 30-an, saya dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, saya juga mempunyai tiga orang anak. Wang merupakan masalah utama dalam keluarga saya. Saya mula belajar daripada peringkat rendah, menengah, maktab dan seterusnya peringkat universiti.

Tahap pendidikan saya juga dalam tahap yang sederhana, namun begitu, saya tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Saya mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda (BA Programme) dianugerahkan pada tahun 2007 dan Master of Teaching dianugerahkan pada tahun 2013. Di sini saya ingin bertanya, adakah kelulusan saya tidak laku? Adakah kelulusan saya tidak dikehendaki oleh pihak kerajaan? Terutama sekali bahagian Pendidikan.

Ada kenyataan yang sering disebarkan mengenai ‘orang Brunei ramai yang memilih pekerjaan.’ Saya selaku wakil bagi bekas graduan yang ada, ingin menyatakan bahawa kenyataan tersebut salah. Dari tahun 2007 hinggalah sekarang, saya tidak jemu mencuba untuk memohon pekerjaan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Saya amat berbesar hati sekiranya saya diberikan peluang ujian bertulis, apatah lagi temu duga, namun begitu, nasib tidak menyebelahi saya, mungkin rezeki saya belum ada. Saya juga tidak serik untuk bekerja di bahagian swasta, daripada seorang pencuci pinggan di salah sebuah hotel, terus kepada seorang guru sekolah swasta.

Cabaran bekerja di sektor swasta amatlah besar, salah satunya apabila gaji dipotong sesuka hati dan gaji ditangguh-tangguhkan. Saya tidak pernah putus asa untuk mencuba di bahagian swasta. Ini kah yang dikatakan orang Brunei yang suka memilih pekerjaan? Dengan kelulusan saya yang ada, adakah bahagian pendidikan tidak menghendakinya? Adakah terdapat kelulusan lain yang lebih tinggi untuk bekerja di bahagian pendidikan.

Usaha demi usaha saya karihi, namun saya ingin bahagian pendidikan sendiri membuka mata, terdapat ratusan bekas graduan yang memerlukan pekerjaan, bantulah kami, kerana kami juga memerlukan pekerjaan untuk menanggung keluarga kami sendiri.

– Bekas Graduan (2007/2013)

ARTIKEL YANG SAMA