Adam Scott tidak sertai Olimpik Rio

Adam Scott tidak sertai Olimpik Rio

LONDON, 20 April (Agensi) – Pemain golf harapan iaitu nombor tujuh dunia dari Australia, Adam Scott mengesahkan yang dia tidak akan menyertai Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.

Juara Masters 2013 itu, berkata jadual kejohanan yang padat menjadi sebab utama dia terpaksa membuat keputusan berkenaan biarpun golf kembali dipertandingkan dalam temasya berprestij itu selepas 112 tahun.

“Keputusan saya dibuat berdasarkan jadual kejohanan yang padat menjelang Olimpik selain komitmen lain. Kedua-duanya adalah hal peribadi dan profesional.

“Saya sudah memaklumkan kapten Australia (Ian Baker-Finch) dan pihak yang berkaitan, mereka faham situasi saya dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Olimpik Australia di Rio,” kata Scott dalam kenyataan yang dikeluarkannya.

Adam Scott ketika menyertai kejohanan golf Masters awal bulan ini. – AP
Adam Scott ketika menyertai kejohanan golf Masters awal bulan ini. – AP

Sebelum ini, Baker-Finch berharap Scott dapat memberikan komitmen untuk beraksi di Rio, sekali gus membentuk gandingan mantap bersama pemain nombor satu dunia, Jason Day.

Marc Leishman kini menjadi calon pilihan utama bagi menggantikan tempat Scott tetapi pemain berusia 34 tahun itu berkata dia perlu memantau terlebih dahulu mengenai perkembangan terhadap ancaman virus Zika yang melanda Brazil ketika ini sebelum membuat keputusan.