ADB: Ekonomi Asia tumbuh 5.6%

ADB: Ekonomi Asia tumbuh 5.6%

MANILA, Filipina, 18 Julai – Bank Pembangunan Asia (ADB) berkata hari ini ia telah mengurangkan ramalan pertumbuhan 2016 untuk ekonomi membangun di Asia dan Pasifik kepada 5.6 peratus, merosot daripada ramalan sebelumnya sebanyak 5.7 peratus, tetapi menambah prestasi ekonomi akan kekal kukuh dan membantu menghapus kira kelemahan daripada ekonomi AS dan kejutan pasaran jangka pendek akibat pengundian Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Laporan pemberi pinjaman yang berpangkalan di Manila itu berkata ramalan pertumbuhan untuk 2017 sebanyak 5.7 peratus yang dibuat pada Mac masih tidak berubah.

“Walaupun pengundian Brexit telah menjejaskan mata wang Asia dan pasaran saham, kesannya ke atas ekonomi sebenar dalam jangka pendek adalah kecil,” kata Shang-Jin Wei, ketua ahli ekonomi ADB.

“Bagaimanapun memandangkan prospek pertumbuhan yang sederhana dalam ekonomi perindustrian utama, penggubal dasar harus mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk bertindak terhadap kejutan luar untuk memastikan pertumbuhan di rantau tetap kukuh.”

China, ekonomi kedua terbesar dunia, dijangka memenuhi ramalan pertumbuhan sebelumnya sebanyak 6.5 peratus pada 2016 dan 6.3 peratus pada 2017, dengan kerajaan dijangka meneruskan langkah fiskal dan perangsang mata wang untuk menyokong matlamatnya.

Untuk Asia Timur pada keseluruhannya, ramalan pertumbuhan tidak berubah pada 5.7 peratus pada 2016 dan 5.6 peratus pada 2017 meskipun aktiviti terpendam di Hong Kong dan Korea Selatan, kata laporan.

Namun pertumbuhan pada tahun ini dan tahun depan akan dipimpin oleh Asia Selatan, yang dijangka menjadi rantau kecil yang berkembang paling pesat, dengan India mungkin memenuhi sasaran pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus pada tahun ini dan 7.8 peratus pada tahun depan, disokong oleh perbelanjaan pengguna dan pertumbuhan pesat dalam ekonomi luar bandar.

Di Asia Tenggara, ramalan pertumbuhan untuk 2016 dan 2017 masih tidak berubah pada 4.5 peratus dan 4.8 peratus.

Prestasi kukuh kebanyakan ekonomi di rantau kecil untuk separuh tahun pertama tahun ini didorong oleh penggunaan persendirian, kecuali Vietnam di mana kemarau yang semakin teruk menyebabkan pengecutan dalam sektor pertanian. – AP

ARTIKEL YANG SAMA