ADB, SIDA meterai perjanjian

ADB, SIDA meterai perjanjian

MANILA, Filipina, 3 Okt – Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menandatangani satu perjanjian dengan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Sweden (SIDA) mengenai satu skim pemindahan risiko di mana SIDA akan menjamin AS$155 juta daripada lima pinjaman ADB berjumlah AS$455 juta kepada India – yang pertama untuk portfolio pinjaman untuk mana-mana bank pembangunan berbilang pihak, umum ADB hari ini.

Pemberi pinjaman di Manila yang komited untuk membasmi kemiskinan di Asia itu berkata pengaturan jaminan perintis dengan SIDA akan menambah kapasiti pinjaman bank sebanyak AS$500 juta dalam tempoh 10 tahun dan sedang dilihat oleh bank pembangunan berbilang pihak lain sebagai satu cara untuk menambah modal di tengah perkembangan keperluan kewangan untuk tujuan pembangunan.

Perjanjian pemindahan risiko memberikan risiko khusus daripada satu pihak kepada pihak lain sebagai tukaran kepada bayaran.

Jaminan oleh SIDA, yang mempunyai pemeringkatan kredit tiga-A, untuk pinjaman tenaga bersih ADB kepada India, di mana pemeringkatan kreditnya adalah tiga B-, akan mempertingkat profil risiko portfolio dan mengurangkan modal yang dipegang dalam rizab untuk membayar pinjaman dijamin.

“Ia adalah satu pengaturan baru yang membenarkan kami mengeluarkan pembiayaan tambahan untuk menyokong operasi kami,” kata Presiden ADB Takehiko Nakao.

Beliau menggelarnya satu kemajuan besar yang akan berfungsi sebagai duluan untuk bank pembangunan yang ingin membantu negara memenuhi matlamat pembangunan mampan mereka serta memenuhi perjanjian perubahan iklim mereka.

Ulrika Modeer, setiausaha negeri untuk pembangunan antarabangsa Sweden dan gabenor ADB, berkata jaminan menambah kapasiti ADB untuk meminjam dan melabur dalam pembasmian kemiskinan, alam sekitar dan perubahan iklim.

Pengaturan berkuat kuasa pada 1 Oktober dan berlangsung sehingga akhir 2026.

Naib Presiden ADB Diwakar Gupta berkata disebabkan modal bank telah bertambah baru-baru ini, tidak timbulnya keperluan untuk mewujudkan ruang kelegaan. Namun beliau berkata “ia merupakan titik permulaan yang baik untuk kami memperoleh pengalaman mengenai cara-cara kami boleh melakukan lebih banyak pemindahan seumpama ini.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA