ADB tingkat penglibatan dengan negara berpendapatan sederhana

ADB tingkat penglibatan dengan negara berpendapatan sederhana

BAKU, Azerbaijan, 4 Mei (Bernama) – Malaysia menyambut baik usaha penglibatan Bank Pembangunan Asia (ADB) dengan negara-negara pendapatan sederhana berikutan cabaran yang dihadapi setiap negara adalah unik.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata negara pendapatan sederhana dalam pelbagai tahap pertumbuhan berhadapan dengan cabaran yang kompleks.

“Negara pendapatan sederhana terdedah kepada kejutan serantau dan global, agenda tadbir urus yang belum selesai, jurang produktiviti dan infrastruktur, penuaan penduduk dan isu perubahan iklim.

“Dengan cabaran ini, saya gembira mendengar ADB memberi perhatian kepada gesaan untuk meningkatkan penglibatan dengan negara-negara pendapatan sederhana melalui pelaksanaan satu laporan baharu berhubung model kerjasama baharu dengan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada kami,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Gabenor ADB Ke-48.

Mesyuarat selama dua hari itu, dengan tema ‘Meningkatkan Kerjasama bagi Pembangunan’, diadakan di ibu negara Azerbaijan, Baku bermula Isnin.

Ahmad Husni mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat di Azerbaijan sejak 2 Mei lepas, termasuk Mesyuarat Gabenor Bank Pusat dan Menteri Kewangan ASEAN+3 ke-18.

Ahmad Husni berkata beliau ingin melihat ADB meningkatkan penglibatannya dengan negara-negara pendapatan sederhana dengan memberi tumpuan kepada cabaran utama termasuk meningkatkan daya tahan kepada kejutan serantau dan global dengan membangunkan rangka kerja ekonomi yang cukup kukuh untuk menangani sebarang kelemahan.

Bank pembangunan serantau itu perlu menumpukan kepada pengukuhan sistem kewangan dan penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing dengan membangunkan sektor swasta serta ketaksamaan pendapatan dengan menyediakan sokongan yang lebih besar kepada pembangunan kawasan luar bandar.

Beliau berkata menangani perubahan iklim dan alam sekitar dengan menggalakkan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui juga merupakan cabaran utama yang ADB perlu memberikan tumpuan.

Sementara itu, Ahmad Husni turut memuji ADB yang berjaya mengendalikan proses rumit penggabungan Ordinary Capital Resources (OCR) ADB dan Dana Pembangunan Asia (ADF).

“Ini merupakan pencapaian bersejarah selama 49 tahun penubuhan ADB, satu lagi kejayaan ADB. “Malaysia, seperti penyumbang ADF yang lain, komited dalam memastikan sokongan berterusan kepada penerima ADF dan berharap penggabungan ini akan menyediakan bantuan kewangan yang kukuh kepada mereka,” katanya.

Ahmad Husni turut menggesa ADB untuk meningkatkan penglibatannya dengan ASEAN, sejajar dengan fokus strategik bank itu mengenai integrasi dan kerjasama serantau di bawah Strategi 2020.