Adele genggam...

Adele genggam lima trofi Anugerah Grammy ke-59

LOS ANGELES – Penyanyi wanita terkenal, Adele menyapu bersih kesemua lima kategori yang diterimanya termasuk Album Terbaik bagi album solo ketiganya, 25 pada Anugerah Grammy ke-59 yang berlangsung di Staples Centre.

Kemenangan Adele dalam kategori utama penganjuran anugerah muzik terbesar Amerika Syarikat itu adalah yang kedua selepas lima tahun memenanginya menerusi album keduanya, 21 pada tahun 2012.

Selain Album Terbaik, penghibur berbakat besar itu turut memenangi dua lagi kategori utama iaitu Rekod dan Lagu Terbaik untuk lagu popularnya, Hello dengan menewaskan saingan terdekatnya, Beyonce Knowles yang tercalon bagi lagu Formation.

Bukan itu sahaja, kehebatan Adele menyampaikan lagu berhantunya itu turut menghadiahkan beliau dengan trofi Persembahan Pop Solo Terbaik yang juga merupakan kemenangan ketiganya dalam kategori itu selepas Someone Like You (2012) dan Set Fire To The Rain (2013).

Album 25 yang telah mencatatkan penjualan melebihi 20 juta salinan di seluruh dunia itu turut diiktiraf dengan trofi Album Pop Vokal Terbaik dengan menewaskan penyanyi popular lain iaitu Justin Bieber, Ariana Grande, Demi Lovato dan Sia.

Adele membawa pulang lima trofi pada malam Anugerah Grammy Ke-59. - AFP
Adele membawa pulang lima trofi pada malam Anugerah Grammy Ke-59. – AFP

Dalam ucapannya selepas namanya diumumkan sebagai pemenang Album Terbaik, Adele yang dilihat tidak dapat menahan dirinya daripada menangis memberitahu kemenangannya itu adalah sesuatu di luar jangkaan.

Ujar penghibur berusia 28 tahun itu lagi, pada ketika pembikinan album 25, Adele mengakui cabaran dan dugaan yang dilaluinya cukup besar lebih-lebih lagi apabila dia sendiri perlu bergelut dengan status dirinya sebagai seorang ibu.

Dalam masa yang sama, Adele yang juga bekas pemenang Oscar itu turut memuji Beyonce apabila menyifatkan album Lemonade sebagai karya hebat dan luar biasa yang menampilkan sisi berbeza Beyonce sebagai seorang karyawan seni sehingga penyanyi itu mengalirkan air mata.

Dengan lima kemenangannya pada malam bersejarah itu, bilangan trofi Grammy milik penyanyi lagu Skyfall itu juga kini telah bertambah menjadi 15 daripada 18 pencalonan yang diterimanya sejak tahun 2009.

Biarpun sedari awal, nama Beyonce disebut-sebut akan mendominasi acara anugerah kali ini selepas menerima pencalonan terbanyak menerusi sembilan kategori, namun, penyanyi yang kini sedang hamil anak kembar itu akur dengan keputusan kali ini apabila hanya menerima dua trofi sahaja.

Isteri penyanyi rap terkenal, Jay Z itu diiktiraf dengan Album R&B Kontemporari Terbaik menerusi album Lemonade manakala lagu Formation pula menerima trofi Muzik Video Terbaik.

Sementara itu, penyanyi legenda, mendiang David Bowie pula masih menjadi perhatian pihak juri dengan memberikan pengiktirafan kepada beliau menerusi empat kategori apabila album terakhirnya, Blackstar memenangi Album Muzik Alternatif Terbaik dan Kejuruteraan Album Terbaik (Bukan Klasikal).