Aden di bawah perintah berkurung

Aden di bawah perintah berkurung

ADEN, 5 Jan (Reuters) – Kerajaan Yaman semalam menguatkuasakan perintah berkurung dari jam 8 malam hingga 5 pagi di Aden selepas serangan sepanjang malam oleh kumpulan militan ke atas tentera kerajaan di bandar itu.

Lapan anggota tentera, termasuk seorang pegawai berpangkat kolonel dan empat militan yang tidak dikenal pasti terbunuh dalam pertempuran yang meletus.

Sehingga semalam, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Kerajaan Yaman berusaha memperkukuh kedudukannya selepas merampas semula Aden daripada pemberontak Houthi Syiah, Julai lalu.

Ketegangan semakin memuncak di negara itu selepas puak Houthi yang mendapat sokongan Iran turut mengkritik keputusan Arab Saudi memancung seorang ulama Syiah, Sabtu lalu.

Kata jurucakap pihak berkuasa tempatan, Nizar Anwar, keadaan di Aden dan kawasan sekitarnya kini stabil dan pelaksanaan perintah berkurung dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga.

Arab Saudi mengetuai pakatan Arab dalam kempen ketenteraan sejak Mac tahun lalu untuk menghalang Houthi menguasai Yaman selepas mereka menawan ibu negaranya, Sanaa pada 2014.

Pakatan itu Sabtu lalu mengumumkan penamatan gencatan senjata yang dilaksanakan pada 15 Disember lalu, tetapi sering dicabul kedua-dua pihak.