Adenan kecewa penguatkuasaan lemah

Adenan kecewa penguatkuasaan lemah

MIRI, 18 Okt – Kerajaan Sarawak menyuarakan kekecewaan berhubung ‘penguatkuasaan yang lemah’ terhadap pencerobohan pukat tunda asing yang boleh memusnahkan industri perikanan di negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, walaupun undang-undang sedia ada cukup untuk menangani masalah pencerobohan di kawasan laut di negeri ini, langkah penguatkuasaan yang ketat perlu untuk membanteras masalah pencerobohan.

“Mereka (kapal asing) meninggalkan kesan kemusnahan dan perlu dihentikan secepat mungkin,” katanya pada majlis pelancaran projek Eko Marin Perhutanan Petronas-Sarawak, di sini, hari ini.

Adenan berkata satu daripada masalah utama di Sarawak adalah pukat tunda asing yang menggunakan kaedah mengorek dasar laut untuk menangkap ikan.

Beliau berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu telah memusnahkan hidupan marin yang penting kepada ekonomi terutamanya dalam industri perikanan dan bagi maksud bukan ekonomi seperti pelancongan dan terumbu karang.

Sementara itu, Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan yang turut berucap pada pelancaran itu berharap projek tersebut akan melonjakkan eko pelancongan dan punca pendapatan nelayan Sarawak khususnya di Miri.

Beliau berkata sebanyak 1,750 unit bebola terumbu tiruan akan ditempatkan di sepanjang Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.

Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media bersempena projek pelancaran bebola terumbu karang tiruan masing-masing seberat satu tan boleh bertahan 500 tahun di dasar laut.

Menurut kenyataan itu bebola terumbu karang akan menghalang bot tunda tangkapan ikan tanpa lesen di taman negara kerana pukat tunda mereka akan musnah jika tersangkut pada bebola karang tiruan yang ditanam di sekitar terumbu karang.

Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti merupakan taman laut yang terbesar di Sarawak. – Bernama