Adenan komited bawa agenda pembangunan – Wan Junaidi

Adenan komited bawa agenda pembangunan – Wan Junaidi

KUCHING, 2 Mei (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem adalah seorang pemimpin yang komited dalam membawa agenda pembangunan terutama di kawasan luar bandar, kata Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sejak menerajui kepimpinan negeri, Adenan telah mengambil pelbagai pendekatan supaya wujud keseimbangan pertumbuhan ekonomi di bandar dan luar bandar.

“Salah satu contoh terbesar ialah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang akan menjadi penghubung antara bandar, ini diharap mampu menggerakkan ekonomi dan pembangunan di luar bandar,” katanya.

Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian jambatan simen Kampung Sejingkat, di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan di Sarawak akan dipertingkatkan lagi sekiranya Adenan berjaya mendapat sokongan yang padu pada pilihan raya negeri kali ini.

Tan Sri Adenan Satem berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Miri, Ahad lalu. - Bernama
Tan Sri Adenan Satem berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Miri, Ahad lalu. – Bernama

“Kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri penting bagi memastikan pembangunan di Sarawak boleh diteruskan. Oleh itu, kita harus memastikan Barisan Nasional mendapat kemenangan yang besar pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata pembinaan Jambatan Sungai Batang Lupar di Sri Aman merupakan satu contoh hubungan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam projek pembangunan.

“Kerajaan negeri akan membiayai 50 peratus kos pembinaan jambatan ini, manakala kerajaan pusat akan menanggung 50 peratus lagi,” katanya.

Beliau berkata walaupun pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik, air, jalan raya di Sarawak telah dilakukan secara berterusan, Adenan masih komited untuk memberi kehidupan yang terbaik kepada penduduk Sarawak.