Adenan kongsi kesedihan atas pemergian cucunda

Adenan kongsi kesedihan atas pemergian cucunda

KUCHING, 8 Jun – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkongsi kesedihan atas kematian cucunda beliau, Azreal Mahmud, 22, minggu lepas, melalui catatan dalam akaun Facebooknya.

“Saya selalu menyangka sayalah yang akan pergi dulu, jadi tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan apabila kita terpaksa mengucapkan selamat jalan kepada mereka yang lebih muda daripada kita, yang dijemput pergi terlebih dahulu,” kata beliau.

Adenan berkata, kini sudah seminggu Azreal dijemput menghadap Ilahi dan beliau akan terus berdoa untuknya.

“Semoga roh cucunda Azreal Mahmud dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa. Al-fatihah,” tulis beliau.

Azreal, yang dipercayai terlibat dengan kemalangan berhampiran Kuching Family Park di Jalan Sultan Tengah pada kira-kira 3 pagi 29 Mei, disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang minggu lepas. – Bernama