Adenan kupas maksud ‘Ooo-Haa’ dan ‘You-You’

Adenan kupas maksud ‘Ooo-Haa’ dan ‘You-You’

MIRI, 2 Mei (Bernama) – Ungkapan ‘Ooo-Haa dan ‘You-You’ adalah sinomin dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem tetapi tiada siapa pernah mencari asal usul frasa pemikat itu sehingga mendengar daripada mulut si pemilik itu sendiri.

Buat pertama kali, Adenan mendedahkan bahawa inspirasi di sebalik kata-kata hikmah itu adalah disebabkan asuhannya semasa membesar dalam kalangan pelbagai kaum di Sarawak.

Bagi ‘Ooo-Haa’, beliau menjelaskan bahawa secara longgar dalam bahasa Iban bermaksud ‘Datai situk aku nak berjako’ atau dalam bahasa Melayu ‘Sila datang ke sini, saya ingin bercakap dengan anda’.

Tetapi pemimpin popular itu tampil dengan tafsiran sendiri dengan menegaskan bahawa bagi dirinya ‘Ooo-Haa’ bermaksud ‘Saya Sayang Sarawak’.

Adenan, yang lebih gemar berpenampilan bersahaja dan dipanggil Ketua Menteri Adenan dalam majlis rasmi, percaya keunikan ungkapan itu telah menyatupadukan rakyat Sarawak tanpa mengira usia, gender, bangsa dan agama.

Adenan mengupas maksud ungkapan itu pada majlis jamuan malam bersama Ketua Menteri dengan calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Pujut, Datuk Hii King Chiong, malam tadi.