Adenan mahu Sarawak juarai Sukma

Adenan mahu Sarawak juarai Sukma

KUCHING, 17 Julai – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mahu kontinjen Sukma Sarawak memenangi 72 pingat emas dan sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia edisi ke-18 itu.

Bagaimanapun, kata beliau, sebagai tuan rumah, Sarawak amat mengalu-alukan kedatangan tetamu dari semua negeri di Malaysia serta Brunei ke temasya sukan itu.

“Kita tidak mahu jadi nombor dua atau nombor tiga, kita mahu jadi nombor satu dan kita sudah membuktikannya banyak kali sebelum ini bahawa kita boleh melakukannya kerana anda mempunyai potensi, keazaman, kesungguhan dan kemudahan,” katanya pada majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen Sukma Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Adenan juga mengumumkan kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada sukan tersebut iaitu dari RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap pingat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan atlet Sarawak supaya tidak menjadikan insentif itu sebagai motivasi utama untuk memenangi pingat, tetapi keazaman untuk mencapai kemenangan.

RAPTAI... Para peserta mengibarkan bendera berwarna-warni hari ini ketika raptai upacara pembukaan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 23 Julai ini. – Bernama
RAPTAI… Para peserta mengibarkan bendera berwarna-warni hari ini ketika raptai upacara pembukaan rasmi Sukan Malaysia (Sukma) Ke-18 di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 23 Julai ini. – Bernama

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa induk Sukma 2016 Datuk Seri Michael Manyin Jawong menyifatkan Adenan sebagai pendorong semangat paling hebat yang menetapkan sasaran tinggi dan sukar untuk dicapai kontinjen negeri ini.

“Sasaran itu memang sukar, tapi janganlah mengecewakan beliau (Adenan) kerana beliau mahu kita menjadi juara keseluruhan bagi mengulangi kejayaan pada 1990, 1992 dan 1994,” kata Manyin, yang juga Menteri Belia, Sukan dan Perpaduan Sarawak.

Lebih 5,000 atlet dari 15 kontinjen, termasuk Brunei, akan menyertai Sukma Ke-18 dari 17 hingga 31 Julai.

Sebanyak 24 jenis sukan akan dipertandingkan dan daripada jumlah itu, 19 merupakan sukan wajib iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, boling, berbasikal, bola sepak, hoki, karate, boling padang, belayar, menembak, silat, skuasy, sepak takraw, taekwondo, angkat berat, wushu dan bola tampar.

Kontinjen Sarawak akan men-yertai kesemua jenis sukan yang dipertandingkan. – Bernama