Adenan minta menteri S’wak bantu proses penurunan kuasa

Adenan minta menteri S’wak bantu proses penurunan kuasa

KUCHING, 18 Julai – Menteri-menteri persekutuan dan kakitangan kanan kerajaan dari Sarawak di Semenanjung Malaysia, diminta membantu proses penurunan kuasa daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata mereka perlu bertegas berhubung hak-hak negeri Sarawak.

“Hak-hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan perjumpaan Pesta Gawai-Kaamatan anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Kampung Budaya Sarawak, di sini malam tadi.

Adenan berkata ia berikutan, kebanyakan pegawai dari Semenanjung yang mengendalikan proses itu, belum dilahirkan ketika lima dokumen itu digubal.

“Saya telah mengumpulkan satu pasukan pakar dari negeri ini untuk membantu kita dalam undang-undang dan perlembagaan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk melantik Peguam Negara Persekutuan untuk berbincang dengan Peguam Negara Sarawak dan terdapat kemajuan dibuat mengenai perkara itu dan saya percaya Sabah juga melakukan perkara yang sama,” katanya.

Adenan mengulangi negeri itu tidak berhasrat untuk keluar daripada persekutuan ketika memohon penurunan kuasa mengenai hak dan keistimewaan kerajaan negeri yang telah terhakis sejak 53 tahun lepas.

“Malaysia adalah untuk kita apabila bekas pemimpin kita seperti Tun Jugah, Tun Abang Openg, Datuk Bandar dan Ling Beng Siew menandatangani perjanjian untuk menyertai Malaysia. Kita tetap memerlukan Malaysia sekarang dan pada masa depan.

Kita tidak akan meninggalkan Malaysia.

“Tetapi kita tidak mahu diambil mudah. Sarawak bukan negeri dalam persekutuan kerana Malaysia ditubuhkan melalui perjanjian dan bukan secara penggabungan paksa,” katanya.

Adenan berkata kerana itu juga Sarawak memutuskan untuk meraikan setiap 22 Julai sebagai sambutan Hari Sarawak bagi mengingati pemimpin terdahulu dan keputusan mereka agar rakyat negeri ini menyertai Malaysia.

“Terdapat sokongan bagi pemulihan hak-hak dan keistimewaan negeri, dari semua rakyat Sarawak termasuk pihak pembangkang,” katanya.

“Kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri baru-baru ini adalah manifestasi bagi sokongan mereka kepada kami,” katanya.

Pada majlis itu Adenan bersetuju memperuntukkan sebidang tanah untuk bangunan DCCI seperti yang dipohon sebelum ini oleh Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum. – Bernama