Adenan pelawa usahawan Jepun terokai peniagaan, pelaburan

Adenan pelawa usahawan Jepun terokai peniagaan, pelaburan

KUCHING, 13 Okt – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mempelawa usahawan Jepun meneroka pelbagai peluang pelaburan dalam bidang pertanian, pembuatan dan pemprosesan hiliran, berasaskan kayu serta aktiviti nilai tambah hiliran minyak dan gas di negeri ini.

Beliau berkata bagi memudahkan pertumbuhan sektor perindustrian, kerajaan negeri melalui agensi-agensinya, telah membangunkan lebih 7,200 hektar tanah perindustrian pada harga yang berpatutan.

Kerajaan negeri juga, kata Adenan, telah membangunkan lebih 8,000 hektar tanah industri di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu untuk industri intensif tenaga dan memperuntukkan kawasan seluas 77,000 hektar di Tanjung Manis bagi Hub Halal.

“Saya ingin menjemput anda untuk meneroka peluang-peluang ini dan berharap anda boleh menjadi sebahagian daripada sejarah pertumbuhan kami, dengan Jepun kini sebagai rakan ekonomi ketiga terbesar bagi Malaysia selepas China dan Singapura.

“Perdagangan Sarawak dengan Jepun juga meningkat daripada RM44.88 bilion pada 2013 kepada RM47.53 bilion pada 2014. Barangan utama yang diniagakan termasuk minyak dan gas serta produk kayu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Perniagaan MARA-OISCA (Pertubuhan bagi Kemajuan Perindustrian, Kerohanian dan Kebudayaan Antarabangsa) 2015 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais.

Turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif OISCA Antarabangsa Toshihiro Nakano, dan Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan) Datuk Salmah Hayati Ghazali.

Adenan berkata dalam tempoh lima tahun lepas, pelaburan dari Jepun di Sarawak berjumlah RM3.76 bilion.

“Pelaburan terdiri daripada sektor pertanian hingga industri pembuatan, terutamanya teknologi tinggi, seperti di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di Kuching dan industri intensif tenaga di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA