Adenan: Perbincangan dengan Najib ‘agak positif’

Adenan: Perbincangan dengan Najib ‘agak positif’

KUCHING, 22 Jan (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata beliau mengadakan perbincangan yang ‘agak positif’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam mengenai penurunan kuasa kepada negeri itu.

Katanya beliau membangkitkan 13 perkara berhubung peruntukan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri.

“Ini fasa pertama, iaitu mengenai hal-hal pentadbiran. Ada dua fasa lagi yang akan diadakan selepas ini,” katanya pada sidang media yang dibanjiri wartawan di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut beliau, fasa kedua akan berkisar mengenai hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri) dan mengenai hal berkaitan perlembagaan, manakala fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas negeri ini, kesahan Akta Perairan Wilayah dan Akta Pembangunan Petroleum.

Adenan berkata beliau memerlukan lebih banyak masa untuk berunding mengenai dua fasa lagi.

Tan Sri Adenan Satem (dua, kiri) ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu (kiri). – Bernama
Tan Sri Adenan Satem (dua, kiri) ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu (kiri). – Bernama

“Sebab itulah saya minta lima tahun lagi daripada rakyat Sarawak untuk mentadbir negeri ini. Mandat yang lebih kuat pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang akan memberi kepada saya kedudukan lebih kuat untuk berbincang dan berunding,” katanya.

Adenan berkata, 13 perkara pertama itu akan berkuat kuasa apabila tiba waktu sepatutnya dan bukan dengan serta-merta.

Adenan menegaskan sekali lagi bahawa hubungan antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan perlu berasaskan kepada perlembagaan.

“Hubungan antara Sarawak dengan Kuala Lumpur berbeza daripada antara Kuala Lumpur dengan, katakanlah, Pahang.

“Mengikut Perjanjian Malaysia, kita sebuah negeri autonomi. Kita tidak menyertai Malaysia. Kita adalah rakan yang setara dalam pembentukan Malaysia.

“Sebelum Perjanjian Malaysia, belum ada lagi Malaysia untuk disertai,” kata Adenan.

Beliau berkata sesetengah pihak berpendapat Sarawak bukan rakan setara, tetapi katanya, “secara umumnya, kita setara”.

Beliau berkata Sarawak perlu bertegas tentang kedudukan autonominya sepanjang masa, tetapi ia bergantung sekuat mana ia menekankan tentang haknya.