Adenan: PRS kemuka 4 muka baharu

Adenan: PRS kemuka 4 muka baharu

KUCHING, 29 Mac (Bernama) – Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mengemukakan empat muka baharu dan mengekalkan tujuh penyandang sebagai calonnya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan nama mereka pada sidang media, selepas menghadiri majlis bertemu rakyat bersama-sama anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Batu Kawa dan Batu Kitang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Turut hadir, Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing, 67, yang akan mempertahankan kerusi Baleh, yang disandangnya.

Penyandang yang dinamakan semula ialah Datuk John Sikie Tayai, 66, bagi kerusi Kakus; Datuk Mong Dagang, 60, (Bukit Begunan); Liwan Lagang, 57, (Belaga); Malcom Mussen, 56, (Batang Ai); Alexander Vincent, 54, (Ngemah) dan Snowdan Lawan, 44, (Balai Ringin).

Dua bakal calon Barisan Nasional, Datuk Peter Nansian Ngusie (kiri) dan Datuk Harry Henry Jinep (kanan) untuk kerusi Tasik Biru bersalaman di depan Tan Sri Adenan Satem pada satu majlis bersama rakyat di Pusat Redeems, Kampung Apar, Sungai, Bau, Isnin lalu. – Bernama
Dua bakal calon Barisan Nasional, Datuk Peter Nansian Ngusie (kiri) dan Datuk Harry Henry Jinep (kanan) untuk kerusi Tasik Biru bersalaman di depan Tan Sri Adenan Satem pada satu majlis bersama rakyat di Pusat Redeems, Kampung Apar, Sungai, Bau, Isnin lalu. – Bernama

Muka baharu pula ialah Wilson Nyabong Ijang, 57, setiausaha politik kepada ketua menteri bagi kerusi Pelagus; ahli perniagaan Chuk Pai, 47, (Murum, kerusi baharu); jurutera Christopher Gira, 45, (Tamin) dan ahli perniagaan Majang Renggie, 57, (Samalaju, kerusi baharu).

Adenan berkata senarai lengkap kesemua 82 calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Saya sudah mengumumkan sebahagian besar calon PBB dan beberapa orang lagi daripada parti komponen lain dan mereka yang merupakan calon langsung BN,” katanya.

Mengenai masalah antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau berkata “ia akan diselesaikan dengan sewajarnya sebelum hari penamaan calon”.