Adenan Satem: Usaha perjuangkan kepentingan rakyat tidak pernah terhenti

Adenan Satem: Usaha perjuangkan kepentingan rakyat tidak pernah terhenti

KUCHING, 6 Ogos – Banyak lagi nikmat pembangunan yang boleh diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak sekiranya ia diberikan mandat lebih besar untuk terus mentadbir negeri pada masa akan datang, kata ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

Katanya berkat sokongan ramai, dalam tempoh singkat beliau menerajui pentadbiran negeri, banyak yang berjaya dilaksanakan, antaranya seperti penurunan kadar tarif elektrik, memerangi kegiatan pembalakan haram dan isu tol. Beliau berkata ia tidak berhenti setakat itu, dan contoh antara perkara yang masih terus diusahakan ialah untuk merapatkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar, di samping menuntut kadar royalti minyak dari Kerajaan Persekutuan dinaikkan daripada 5 peratus kepada 20 peratus.

“Kita sedang berusaha lagi, tanpa henti, semua untuk kesejahteraan rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian surat hak milik tanah kepadapenduduk Kampung Pinang Jawa dan Kampung Semariang di bangunan DewanUndangan Negeri yang lama, di sini hari ini. Sebanyak 25,876 surat hak milik tanah bagi tujuan kediamandikeluarkan kepada penduduk di seluruh Kuching sehingga kini, dan hari ini menyaksikan 570 penduduk lima kampung di Semariang dan 96 penduduk Kampung Pinang Jawa menerimanya daripada tangan Ketua Menteri sendiri. – Bernama