Adenan senarai 13 perkara dipersetujui

Adenan senarai 13 perkara dipersetujui

KUCHING, 22 Jan (Bernama) – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini menyenaraikan 13 perkara yang dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya semalam.

Adenan berkata adalah dipersetujui bahawa:

* Para Pegawai Undang-undang Negeri diberi tauliah oleh Pendakwa Raya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut Ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.

* Penurunan kuasa dibuat kepada pegawai negeri untuk mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dalam pelantikan pegawai ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan, termasuk perkhidmatan perguruan dan perubatan.

* Jawatan dalam Jabatan Imigresen Sarawak diperkemas bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan di negeri ini melalui penambahan 100 jawatan baharu, dengan pengisian sepenuhnya dibuat menjelang akhir Februari 2016.

* Nisbah guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di negeri ini dinaikkan kepada 90 peratus daripada keseluruhan jumlah guru di Sarawak menjelang 2018, dan untuk memastikan sasaran ini tercapai, guru sementara dari pasaran terbukadipertimbangkan dari semasa ke semasa dan mereka ini mendapat Diploma Pendidikan semasa tempoh mengajar.

* Kuasa warden trafik bagi Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak diberi kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandar raya Kuching Selatan.

* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri sebelum sesuatu permohonan permit perikanan laut dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian Permit Perikanan Laut Dalam untuk dipertimbangkan.

* Rundingan perlu dibuat dengan kerajaan negeri dalam merangka undang-undang persekutuan yang mempunyai kaitan atau memberi kesan terhadap kerajaan negeri Sarawak seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.

* Perancangan projek persekutuan di Sarawak memberi keutamaan kepada Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Sarawak, berdasarkan kelulusan bajet. Pelaksanaan projek ini perlu dirujuk/dirundingkan antara kementerian dan kerajaan negeri seperti dalam menentukan lokasi sekolah, hospital dan pelaksanaan projek pembangunan lain.

* Kementerian mengambil langkah perlu untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar daripada kalangan rakyat Sarawak bagi Program Ijazah Perubatan. Rakyat Sarawak akan diberi lebih banyak peluang untuk mengikuti program pengajian asasi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

* Bidang berkaitan yang boleh diperturunkan kuasa dikenal pasti untuk diperturunkan kuasa Ketua Pengarah mengikut Seksyen 49 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kepada pegawai/jabatan negeri.

* Pembangunan projek perumahan di Sarawak dilaksanakan semula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama bagi memastikan agensi negeri terlibat sepenuhnya dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek berkenaan di Sarawak.

* Pembangunan sukan di Sarawak diuruskan secara bersama dengan kerajaan negeri. Kementerian Belia dan Sukan kini dalam proses memperkemaskan Akta Pembangunan Sukan 1997, yang dijangka selesai menjelang akhir 2016.

* Kerajaan negeri melaksanakan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semua jawatan akan dipindahkan kepada Perkhidmatan Awam Negeri.

Kerajaan Persekutuan akan menyumbang 50 peratus daripada kos yang terlibat seperti yang diputuskan Majlis Kewangan Negara.

Adenan berkata syarat penurunan kuasa pentadbiran ini telah dipersetujui dalam fasa pertama rundingan penurunan kuasa antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan, manakala rundingan fasa kedua akan menyentuh tentang hak negeri ini (pencerobohan persekutuan terhadap kuasa negeri), dan fasa ketiga mengenai permohonan royalti minyak dan gas.