Adenan yang d...

Adenan yang disayangi rakyat, Allah lebih menyayangi beliau

Oleh Prof. Madya Dr. Jeniri Amir

 

KETIKA Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri kelima Sarawak, pada 28 Februari 2014 timbul dua persoalan utama di benak banyak pihak.

Pertama, mampukah beliau mengisi kasut besar yang ditinggalkan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang memerintah Sarawak selama 33 tahun? Kedua, dapatkah beliau keluar daripada bayangan Taib? Maksudnya adakah beliau punya keberanian politik dan menjadi pemimpin yang punya prinsip meskipun mungkin sahaja mengguriskan perasaan mentor yang telah meletakkan beliau di kerusi itu?

Namun, selepas berada di kerusi itu, tidak syak lagi, beliau telah bertindak sesuai dengan yang apa yang patut dilakukan oleh seorang Ketua Menteri. Beliau memahami aspirasi dan kehendak rakyat dan mengambil tindakan tanpa takut dan gentar, membayangkan bahawa beliau punya  prinsip dan ketegasan, tetapi memiliki sentuhan kemanusiaan dan sentuhan kerakyatan.

Berdasarkan tindakan dan kenyataan beliau, ternyata kepentingan utama beliau adalah melakukan sesuatu demi kepentingan rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang etnik, budaya dan agama.

Berani, tegas dan bijaksana

Dikenali sebagai seorang yang tegas, berani, pintar dan tidak peduli dengan apa-apa yang orang lain kata, Adenan bersedia mengubah dan meminda dasar yang tidak menguntungkan rakyat.

Beliau yang berusia 72 tahun meninggal dunia pada 1.20 petang kelmarin. – Bernama
Beliau yang berusia 72 tahun meninggal dunia pada 1.20 petang kelmarin. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan dekat Kuching. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan dekat Kuching. – Bernama

Bagi Adenan yang suka berlelucon dan meminati lagu P. Ramlee, Cliff Richard dan Elvis Presley itu, kata-katanya tidak berselindung, tetapi langsung kerana beliau mengakui tidak mahu berpura-pura.

Antara dasar dan tindakan yang mendapat reaksi positif rakyat ialah  usaha menurunkan tarif elektrik untuk keperluan domestik dan industri, menghapuskan tol, pemberian geran tanah, menyalurkan peruntukan kepada sekolah Cina, dan menyekat pemimpin politik dari Semenanjung yang dapat menjejaskan hubungan harmoni antara kaum di Sarawak.

Jika Taib banyak meluluskan pemberian geran bagi Tanah Adat Bumiputera (NCR) kepada syarikat besar dan juga kawasan balak kepada individu tertentu yang rapat dengan beliau, Adenan bertegas untuk menghentikan semua itu.

Iltizam beliau untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan ke luar bandar sudah pasti dapat merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar. Luar bandar sebagai kawasan yang masih mundur dan memerlukan keperluan asas dari segi bekalan elektrik, air bersih, klinik, jalan raya, sekolah dan sebagainya, memerlukan komitmen dan keberanian politik untuk betul-betul mentransformasikannya.

Jika tidak, rakyat luar bandar yang menjadi penyokong kuat kerajaan, akan terus berada di pinggiran. Mereka berhak dibela dan pembelaan itu hanya dimungkinkan oleh kepemimpinan tertinggi dengan kerjasama wakil rakyat di kawasan terbabit..

Komitmen beliau untuk membanteras gejala pembalakan haram sekali lagi memperlihatkan bahawa beliau tidak mahu Sarawak terus rugi ratusan juta ringgit setahun kerana kegiatan haram yang hanya menguntungkan pihak tertentu.

Untuk itu, beliau memberi kelengkapan sesuai kepada pegawai perhutanan, dan juga mengenakan tindakan keras terhadap pegawai perhutanan yang bersekongkol, termasuk melakukan rasuah.

Persoalannya, mengapa kejadian yang memang menjadi rahsia umum itu dibiarkan untuk puluhan tahun ketika Sarawak sudah hampir ketiadaan kawasan balak lagi?

Dan, sudah pasti tindakan sedemikian disambut positif oleh rakyat yang mahu melihat kerajaan yang bersih dan telus dengan mengutamakan tadbir urus yang baik. Untuk itu, beliau meminta menteri kabinet beliau membuat aku janji – satu langkah ke hadapan bagi memastikan imej kerajaan negeri yang tercalar sebelumnya dapat dibersihkan.

Berdasarkan sekurang-kurangnya lebih 55 dasar dan langkah yang diambil oleh beliau setakat ini, beliau boleh disifatkan pemimpin yang responsif, terbuka dan  bersedia menerima kritikan. Tuntutan autonomi terhadap kerajaan persekutuan, turut melonjakkan nama dan reputasi Adenan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib tiba bagi menziarah jenazah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di Pusat Jantung Negara Kota Samarahan semalam. – Bernama
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib tiba bagi menziarah jenazah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di Pusat Jantung Negara Kota Samarahan semalam. – Bernama

Tidak pernah terbayang sebelum ini, seorang Ketua Menteri membuka pintu pejabatnya untuk pemimpin parti pembangkang. Adenan juga bersedia menghulurkan bantuan kewangan yang bukan sedikit kepada seorang pemimpin DAP untuk melangsaikan bil hospital.

Tetapi Adenan melakukannya kerana menganggap bahawa mereka juga rakyat negara ini, dan mereka dipilih oleh rakyat secara sah. Sebelum ini, kenyataannya, saya tahu ada daripada pemimpin Barisan Nasional yang ‘takut’ menghadiri majlis perkahwinan jemputan pemimpin pembangkang. Ketakutan mereka itu sebenarnya tidak berasas, dan pemimpin sedemikian hanya takut kepada bayang-bayang sendiri.

Tindakan Adenan itu membuktikan jiwa besar dan rasa kemanusiaan beliau yang mendalam – dan beliau mengerti betapa semua itu tidak harus dilihat dari perspektif politik. Sentuhan kerakyatan dan kemanusiaan yang diperlihatkan oleh beliau setakat ini amatlah memberangsangkan, dan perlu diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.

Beliau mengakui, pertembungan atau konflik politik antara parti pembangkang dengan pemerintah tidak seharusnya berlaku sepanjang masa.

Ya, jika pandangan dan kritikan pembangkang itu munasabah, mengapa tidak diterima dengan hati terbuka? Sesungguhnya, ular yang menyusur aur, tidak akan hilang bisanya. Bagi pembangkang pula, mereka perlu memberi kredit jika tindakan kerajaan betul dan bagus, dan bukan mengkritik semata-mata untuk mengkritik.

Meskipun begitu mencabar untuk beliau mengisi kasut besar dengan kaki kecil yang ditinggalkan oleh Taib, namun beliau perlu terus melangkah ke hadapan dengan langkah betul, berani dan yakin. Itulah sebabnya beliau begitu popular, dengan tahap populariti mencecah 85 peratus sehingga memungkinkan BN menang besar dalam pilihan raya negeri lalu.

Beliau punya kesempatan untuk terus membetulkan dasar yang merugikan rakyat, bukan sahaja demi melakarkan nama baiknya di hati rakyat, tetapi bagi memastikan Sarawak dianjakkan ke hadapan sesuai dengan impiannya untuk menjadi negeri maju, makmur dan sejahtera.

Pemergian Adenan bukan sahaja ditangisi, tetapi satu kehilangan besar bagi rakyat Sarawak. Al-Fatihah.

(Penulis ialah seorang pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak)

ARTIKEL YANG SAMA