Adik berkorban untuk kakak

Adik berkorban untuk kakak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – “Seperti air dicincang takkan putus” itulah peribahasa yang sesuai untuk menceritakan ikatan kekeluargaan yang sudah mendalam bagi dua orang adik-beradik di mana mereka bukan sahaja berkongsi talian darah persaudaraan tetapi pengorbanan dan pemberian istimewa daripada seorang adik buat kakaknya telah memberikan peluang bagi kakak untuk melakar kehidupan yang baru.

Pemberian bermakna daripada Dayang Normajidah binti Haji Mat Zin, 29 tahun, membolehkan kakaknya, Dayang Norliza binti Haji Mat Zin, 30 tahun, untuk bukan sahaja melakar kehidupan baru tetapi kini Dayang Norliza bersama suaminya, Awang Mohd Noor Asmaddy Haji Mustaffa, mencuba untuk membina kehidupan dengan mengalu-alukan kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka.

“Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang adik yang amat menyayangi saya. Pengorbanannya untuk menderma buah pinggangnya kepada saya bukannya kecil dan kini sebahagian daripada dirinya akan sentiasa bersama saya. Ini semua adalah berkat talian keluarga yang kukuh di antara kami semua,” kata Dayang Norliza terharu dengan pemberian yang tidak boleh dinilai daripada adiknya, Dayang Normajidah, dalam temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

Dayang Norliza merupakan pesakit keempat yang berjaya melaksanakan Program Pemindahan Buah Pinggang oleh Kementerian Kesihatan pada 21 April lalu di Hospital RIPAS di mana beliau menerima buah pinggang daripada adiknya, Dayang Normajidah.

Dayang Norliza (kiri) dan Dayang Normajidah (kanan), yang berjaya menjalani Program Pemindahan Buah Pinggang, mempunyai hubungan yang lebih erat berkat pengalaman dilalui.
Dayang Norliza (kiri) dan Dayang Normajidah (kanan), yang berjaya menjalani Program Pemindahan Buah Pinggang, mempunyai hubungan yang lebih erat berkat pengalaman dilalui.

Ketika ditemui Media Permata, kedua-dua adik-beradik itu sudah menjalani pembedahan dan mereka dalam keadaan baik dan stabil di mana Norliza kini menjalani pemeriksaan lanjut secara kerap di Klinik Pemindahan Buah Pinggang, Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan tetapi beliau tidak lagi perlu menjalani rawatan dialisis, tiga kali seminggu seperti dahulunya.

Dayang Norliza yang berkhidmat sebagai pembantu domestik di Bahagian Farmasi, Pesakit Luar Hospital RIPAS, disahkan menghidap kegagalan buah pinggang pada usia muda di mana masalah itu dikesan semasa pemeriksaan kesihatan dan beliau mula menjalani hemodialisis sejak 2011.

“Pada awalnya, saya merasa terkejut dan sedih menerima berita bahawa saya mengalami kegagalan buah pinggang pada usia yang muda tetapi berkat sokongan keluarga dan juga suami, saya menempuh dugaan yang amat mencabar itu dengan rela hati, tabah dan tidak membenarkan keadaan itu melemahkan semangat dan keinginan untuk hidup seperti orang lain.”

Pada sekitar 2014 dan dengan kejayaan Program Pemindahan Buah Pinggang di Negara Brunei Darussalam, Dayang Norliza dengan sokongan daripada semua ahli keluarganya menyatakan hasrat untuk menyertai program pemindahan buah pinggang itu.

Melalui taklimat yang terperinci daripada doktor-doktor pakar yang menerangkan dengan teliti, risiko dan kejayaan program itu, semua ahli keluarga Dayang Norliza termasuk suaminya menyatakan hasrat untuk menderma buah pinggang buat Dayang Norliza dan pemeriksaan keserasian mendapati bahawa kesemuanya boleh menderma kepada Dayang Norliza.

Perbincangan sekeluarga diadakan dan disebabkan oleh perbezaan umur yang tidak terlalu jauh dan perhubungan yang amat rapat di antaranya dan kakaknya, Normajidah, yang berkhidmat sebagai kerani di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, membuat keputusan untuk mendermakan buah pinggang bagi kakaknya.

“Saya dapat merasakan kesihatan kakak semakin menurun di mana kehidupan yang dilalui oleh kakak amat drastik kerana terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis tiga kali seminggu.”

Menurut Dayang Normajidah, semua orang mengimpikan hidup yang sihat dan dengan rela hati dan sokongan daripada keluarga, beliau membuat keputusan yang menjadikan kehidupan kakaknya lebih ceria.

“Saya tidak dapat membayangkan kehidupan kakak yang menjalani rawatan dialisis untuk seumur hidup. Selepas pembedahan ini, saya melihat kakak lebih ceria dan gembira. Kini kakak boleh memulakan kehidupan baru yang lebih cerah bersama suami dan hubungan kami sekeluarga juga lebih dekat dan mesra.”

Kedua-dua orang adik-beradik itu menceritakan pengalaman sebelum menjalani pembedahan itu, perasaan gementar tidak dapat dipisahkan tetapi persiapan dan keupayaan para doktor menjadikan pembedahan itu berjalan dengan lancar dan tidak ada sebarang masalah perlu dilalui oleh mereka.

Menurut Dayang Normajidah, selepas pembedahan itu, beliau tidak merasakan perubahan dalam kehidupan dan kesihatannya. “Saya masih merasakan bahawa saya masih mempunyai dua buah pinggang dan kadang-kadang memang ada terasa ngilu melihat bekas pembedahan itu.”

Baginya tidak pernah terlintas di fikirannya, menyesal dengan keputusan yang dibuat bagi menderma buah pinggang buat kakaknya itu. “Saya amat gembira kerana dapat membantu kakak untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan tidak sabar untuk melihat kakak mempunyai ahli keluarga baru buat kami semua.”

Dayang Norliza menyatakan penghargaan kepada semua doktor dan jururawat yang banyak membantunya untuk melalui pelbagai cabaran daripada melalui rawatan dialisis, pembedahan buah pinggang dan kini pemeriksaan kesihatan, kesemua pakar perubatan dan jururawat yang menjaga dan melayaninya dan adiknya dengan baik dan profesional sekali.

Dayang Norliza dan Dayang Normajidah berpesan, “Pendermaan buah pinggang itu adalah satu amalan yang amat bermakna terpuji dan selamat. Ia adalah satu amalan yang boleh membantu ahli keluarga yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan mereka. Kami telah mengalaminya dan ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga dan bermakna. Kami semakin menghargai nilai kehidupan dan kasih sayang di antara kami.”

Sebelum mengakhiri temu bual itu, Dayang Norliza juga sempat berpesan kepada orang ramai untuk menghargai nikmat kesihatan yang diberikan dan untuk tidak mengabaikan kesihatan mereka. Beliau berharap orang ramai akan sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan untuk tidak mengamalkan tabiat yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

“Saya diberikan peluang kedua untuk menikmati kehidupan sihat bersama keluarga dan saya amat mensyukuri nikmat yang diberikan ini.”