Adili perlawanan di Vietnam

Adili perlawanan di Vietnam

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Pengadil bola sepak nombor satu Negara Brunei Darussalam, Awang Mohamed Hadimin bin Shahbuddin kini di Hanoi, Vietnam bagi mengadili beberapa perlawanan dalam Kejohanan Belia Bawah 19 Tahun AFF 2016.

Beliau terus mendapat kepercayaan AFC, AFF dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) apabila turut dilantik menjadi salah seorang pengadil yang akan bertugas sebagai pengadil dan pegawai keempat dalam kejohanan peringkat serantau iaitu Asia Tenggara berkenaan.

Kejohanan bagi edisi yang ke-13 itu akan berlangsung bermula hari ini hingga 24 September nanti.

Sejumlah 11 buah pasukan menyertai kejohanan kali ini yang telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan. Kumpulan A mengandungi lima buah pasukan, sementara Kumpulan B sebanyak enam buah pasukan.

Dalam Kumpulan A ialah Vietnam, Malaysia, Timor Leste, Singapura dan Filipina, manakala Kumpulan B terdiri daripada Thailand, Laos, Myanmar, Australia, Kemboja dan Indonesia.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung pada 11 hingga 20 September dan disambung dengan peringkat separuh akhir pada 22 September dan peringkat akhir pada 24 September.

Awang Mohamed Hadimin berlepas ke Hanoi, Vietnam bagi bertugas di Kejohanan Belia B19 AFF 2016.
Awang Mohamed Hadimin berlepas ke Hanoi, Vietnam bagi bertugas di Kejohanan Belia B19 AFF 2016.