Adili perlawanan takraw di Vietnam

Adili perlawanan takraw di Vietnam

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Seorang pengadil yang dipilih oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) terlibat mengadili perlawanan dalam Kejohanan Sukan Pantai Asia ke-5 yang bakal berlangsung di Da Nang, Vietnam bermula pada 24 September sehingga 3 Oktober 2015 ini nanti.

Haji Zaman bin Haji Samad yang akan pertama kali mengadili acara sepak takraw pantai itu mengucapkan penghargaan kepada KKBS dan PESTABARU yang memberikan kepercayaan kepada beliau dan menurutnya pengalaman yang diperoleh akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Apabila ditanya mengenai pengalaman, beliau merupakan salah seorang tunjang belakang persatuan induk sukan takraw di negara ini yang banyak memainkan peranan dalam perkembangan sukan dan teknikal sukan takraw tempatan.

Selain mengadili perlawanan dalam dan luar negara, beliau turut berperanan dalam melahirkan barisan pengadil baru yang bertauliah melalui kursus dan program pengadilan yang dianjurkan oleh PESTABARU.

Haji Zaman ketika ditemu bual oleh Media Permata.
Haji Zaman ketika ditemu bual oleh Media Permata.

“Baru-baru ini kursus diberikan kepada pengadil baru dan pengadil yang terlibat juga akan turut berpeluang mengadili kejohanan yang besar di dalam dan luar negara bagi kejohanan serantau namun jika mereka sudah berpengalaman mereka juga akan turut berpeluang mengadili acara sukan utama seperti Sukan Asia Tenggara dan Sukan Asia,” ujarnya.

Mengulas lagi mengenai kursus berkenaan, ia amat bermanfaat kepada pengadil baru kerana ia bukan hanya memfokuskan kepada satu disiplin permainan gelanggang yang biasa, namun juga mendedahkan kepada disiplin pantai dan disiplin lain dalam sukan sepak takraw.

Beliau yang sebelum ini sudah mengadili perlawanan akhir di India dan Thailand akan memanfaatkan pengalaman itu dalam kejohanan kali ini dan baginya apa yang penting sebagai pengadil adalah mentaliti dan ketegasan.

“Setakat ini kehadiran teknologi dalam membantu penjaga garisan adalah satu yang sangat memberangsangkan namun pada kejohanan kali ini akan menggunakan sistem penjaga garisan seperti yang dibuat sebelum adanya medium bantuan ini,” tegasnya lagi.